KUALA LUMPUR: “Saya percaya, rezeki itu telah diatur Allah.”
Itu respons balas penyanyi, Yasmin Aziz terhadap komen negatif seorang netizen mengenai dirinya.
Yazmin, 24, berkata dia berkerja keras untuk membantu keluarga, justeru berhak beroleh rezeki halal.
”Saya berharap orang nampak saya manusia juga. Saya juga ada tanggungjawab, ada keluarga yang ingin saya bantu dan ada impian yang ingin saya capai.
”Saya juga berhak mencari rezeki yang halal. Saya baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan saya masih bekerja keras setiap hari.
“Saya percaya, rezeki itu telah diatur Allah. Ada masa untuk setiap orang,” katanya di Thread.
Sambung Yazmin, dia sejak muda sudah membantu keluarga dan pengalaman tersebut mengajarnya erti syukur, kerja keras dan menghargai rezeki diberikan.
“Sehingga hari ini, saya masih menjaga keluarga seperti mana mereka menjaga saya sepanjang hidup saya. Kami mungkin tak punya banyak, tapi kami bersyukur dengan apa yang kami ada,” katanya lagi.
Yazmin dalam pada itu berharap agar netizen memberi sokongan kepada anak seni yang bekerja keras dan gigih berusaha.
“Biasakan tepuk tangan bila orang lain berjaya. Sebab saya pun buat perkara yang sama.
”Dan bila tiba giliran kita, semoga orang lain juga boleh turut mendoakan yang baik-baik untuk kita,” kongsinya.










