DALLAS: Penyerang berpengalaman, Memphis Depay disahkan cergas untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Belanda menjelang aksi pembukaan Kumpulan F menentang Jepun pada Piala Dunia 2026 di Dallas, awal pagi esok.
Jurulatih Belanda, Ronald Koeman, menyifatkan Depay sebagai pemain penting dalam misi Oranje memburu gelaran dunia pertama dalam sejarah negara itu.
Depay, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda dengan 55 gol antarabangsa, baru kembali beraksi pada Mei lalu selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan.
Penyerang berusia 32 tahun yang kini beraksi bersama Corinthians itu melalui tempoh mencabar sepanjang tahun lalu apabila bergelut dengan masalah prestasi dan kecergasan.
Namun, Koeman memberi bayangan bahawa Depay bakal mengetuai jentera serangan ketika berdepan Jepun di stadium tertutup moden di Dallas yang menjadi gelanggang pasukan NFL, Dallas Cowboys.
Koeman berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pemain mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan, namun enggan mendedahkan senarai tersebut kepada media.
Depay tidak diturunkan ketika Belanda mencatat kemenangan 2-1 ke atas Uzbekistan dalam aksi persahabatan minggu ini, tetapi sempat beraksi selama satu babak ketika tewas 0-1 kepada Algeria pada aksi terakhir persahabatan.
“Memphis cergas dan bersedia untuk memulakan perlawanan. Perkembangannya sangat positif dan semuanya kelihatan baik.
“Dia pemain yang sangat penting kepada pasukan. Sejak sekian lama dia memainkan peranan besar dan merupakan antara kunci utama kejayaan kami di Piala Dunia ini,” kata Koeman.
Selain Depay, pemain sayap lincah, Crysencio Summerville, turut berada dalam pertimbangan serius untuk diturunkan.
Summerville menikmati musim yang baik bersama West Ham United walaupun pasukan itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.
Menurut Koeman, Summerville menawarkan dimensi berbeza kepada corak permainan Belanda.
“Kami tidak mempunyai ramai pemain yang mampu bermain dengan baik di bahagian kanan tetapi lebih selesa bergerak dari sebelah kiri.
“Atas sebab itu, dia melengkapkan keseimbangan pasukan dan ada kemungkinan besar dia akan bermain esok,” katanya.
Belanda pernah muncul naib juara Piala Dunia sebanyak tiga kali dan sekali lagi dianggap antara pencabar utama untuk mara jauh dalam kejohanan yang berlangsung di Amerika Utara itu.
Bagaimanapun, Oranje terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan, termasuk pemain serangan Xavi Simons dan pertahanan Jurrien Timber.
Walaupun tidak turun dengan kekuatan penuh, Koeman mengakui tekanan sentiasa mengiringi pasukannya setiap kali beraksi di pentas terbesar dunia.
“Tekanan sentiasa ada. Belanda mungkin bukan negara yang besar dari segi saiz, tetapi kami sentiasa hadir dalam kejohanan besar dan kami sendiri meletakkan harapan yang tinggi terhadap pasukan,” katanya.-AGENSI










