KOTA BHARU: Piagam Muafakat Nasional (MN) yang berteraskan konsep penyatuan ummah bukan eksklusif untuk UMNO dan Pas, sebaliknya dibuka kepada mana-mana parti Islam lain yang berkongsi hala tuju sama.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain parti politik seperti UMNO dan Pas, ‘ummah’ juga ada dalam pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) selain turut melibatkan individu perseorangan.
“Jangan mengehadkan penyatuan ummah ini kepada Pas dan UMNO sahaja. Ia mesti dibuka kepada semua parti-parti lain, NGO dan orang perseorangan yang mempunyai cita-cita sama.
“Jadi tidak terhad kepada Pas, kepada UMNO sahaja. Itu yang ditekankan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Dalam piagam itu sendiri sebenarnya membuka ruang yang luas kepada sesiapa sahaja ke arah penyatuan ummah demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berharap kenyataan Abdul Hadi mengenai UMNO yang tidak mengikut piagam dipersetujui bersama semalam, tidak disalah tafsir dan diputar belit mana-mana pihak.
“Saya hendak jelaskan sekali lagi, apa yang disebut oleh Presiden Pas dalam piagam MN ini ialah, ia bukan antara UMNO dengan Pas sahaja,” katanya.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Abdul Hadi berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mana-mana NGO. – UTUSAN ONLINE










