ATLANTA: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente mengesahkan bintang muda sensasi, Lamine Yamal berada dalam keadaan cergas, namun tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama ketika juara Eropah itu membuka kempen Piala Dunia menentang Cape Verde, hari ini.
Pemain Barcelona berusia 18 tahun itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring pada 22 April lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dia mungkin terlepas dua perlawanan awal Sepanyol dalam kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, Yamal yang kembali menjalani latihan penuh sepanjang minggu kini bersedia untuk diturunkan sebagai pemain gantian dalam aksi yang berlangsung di Atlanta.
“Dia tersedia tetapi bukan untuk memulakan perlawanan. Dia berada dalam keadaan sempurna untuk bermain beberapa minit,” kata De la Fuente dalam sidang akhbar.
Turut berada dalam situasi sama ialah dua pemain sayap, Nico Williams dan Victor Munoz yang hanya cukup cergas untuk disenaraikan di bangku simpanan.
“Mereka berada dalam keadaan baik untuk bermain tanpa risiko kecederaan berulang. Jika tidak, mereka tidak akan berada di bangku simpanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sepanyol menghadapi Piala Dunia kali ini tanpa seorang pun pemain Real Madrid dalam skuad mereka, sesuatu yang berlaku buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di pentas terbesar bola sepak dunia.
Namun, situasi tersebut berkemungkinan berubah selepas Real Madrid dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan pemain pertahanan Chelsea, Marc Cucurella dengan nilai 55 juta euro (RM258 juta).
De la Fuente bagaimanapun tidak melihat spekulasi perpindahan pemain sebagai faktor yang boleh mengganggu tumpuan pasukannya sepanjang kejohanan.
“Saya tahu tahap komitmen dan profesionalisme mereka. Situasi seperti ini pernah berlaku ketika Euro 2024 dan kami menghadapinya dengan baik.
“Saya boleh menjamin tiada siapa dalam pasukan ini yang akan mengorbankan kepentingan pasukan. Jika ada berita baik untuk Cucurella atau mana-mana pemain lain sepanjang kejohanan, kami akan meraikannya bersama,” katanya.
Sepanyol hadir ke Piala Dunia sebagai antara pasukan pilihan selepas muncul juara Euro 2024 dengan menewaskan Jerman, Perancis dan England dalam perjalanan merangkul gelaran tersebut.
Malah, De la Fuente tanpa berselindung menyifatkan skuad kendaliannya sebagai pasukan terbaik di dunia ketika ini.
“Bagi saya, dengan penuh hormat kepada pasukan lain, kami memiliki pasukan terbaik di dunia dan pemain terbaik.
“Untuk melihat tahap kualiti yang ada, lihat sahaja pemain yang tidak terpilih. Namun, semua pemain memahami peranan masing-masing dan menerimanya dengan baik. Itulah kekuatan sebenar pasukan ini,” katanya.
Selepas menentang Cape Verde, Sepanyol akan meneruskan saingan Kumpulan H dengan berdepan Arab Saudi dan Uruguay. – AFP










