'Tan Sri Muhyiddin nampaknya semakin keliru sejak tidak lagi jadi PM' - Utusan Malaysia

‘Tan Sri Muhyiddin nampaknya semakin keliru sejak tidak lagi jadi PM’

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sistem parti politik dominan tidak lagi sesuai.

Mohamed Khaled sebaliknya berkata, dengan cara itu sahaja kerajaan dibentuk dapat fokus membangunkan negara dan bukan menyelamatkan kuasa yang hanya dapat dicapai apabila parti politik memenangi kerusi terbanyak sekali gus membentuk kerajaan majoriti.

“Tan Sri Muhyiddin nampaknya semakin keliru sejak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tewasnya PN di Melaka. Masakan boleh diterima hujah beliau bahawa sistem parti politik dominan tidak lagi sesuai. Ia berbahaya kata beliau kerana pemusatan kuasa adalah pada individu dan bukannya parti.

“Agaknya beliau lupa bahawa beliau tersingkir dari jawatan Perdana Menteri kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dominan dalam kerajaan PN. Kerana parti beliau itu kecil lah maka kerajaan pimpinan beliau begitu mudah tersungkur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, ketidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lalu adalah kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan.

“Sehingga berlakunya tragedi puluhan ahli Parlimen lompat melompat parti demi memperdagangkan kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan.

“Malaysia tidak pernah menyaksikan episod khianat mandat rakyat dalam magnitud sedemikian. Hanya sejak Bersatu menjadi kerajaan dalam Pakatan Harapan (PH) dan PN, budaya politik curang itu menjadi kelaziman.

“Atau juga beliau (Muhyiddin) tidak lagi boleh membezakan bahawa Malaysia ini adalah sebuah demokrasi ala Westminster. Maknanya hanya parti terbesar dan terkuat dijemput untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pergerakan politik kepartian di seluruh dunia bertungkus-lumus untuk memenangi pilihan raya dengan kerusi terbanyak.

“Kita ingin melihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, berapa banyak kerusi yang akan Bersatu tandingi. Dalam PRU-13, mereka menang hanya 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. Mungkin kerana itu, Bersatu selesa untuk hanya menjadi parti kecil tetapi memerlukan nyawa dari UMNO.

“Insya-Allah dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya