Suami isteri ditahan kes Long Tiger lolos lokap - Utusan Malaysia

Suami isteri ditahan kes Long Tiger lolos lokap

LONG TIGER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki rakan subahat kepada Long Tiger, lelaki berketurunan Rohingnya yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasangan warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam kelmarin.

Katanya, kedua-dua mereka kini direman empat hari hingga Jumaat ini.

“Kita sedang melancarkan operasi bagi mengesan Long Tiger ini dan kita percaya dia masih berada di kawasan sekitar Bukit Gambir dan sekitarnya. Saya menyeru kepada masyarakat dan orang awam jangan sesekali melindungi Long Tiger ini kerana dia diburu oleh pihak polis.

“Kalau kita dapat maklumat dan ada bukti bahawa ada orang awam cuba melindungi Long Tiger, kita akan buat tindakan yang sama,” katanya pada Op Khas Bersepadu melibatkan bas ekspres dan bas persiaran di Hentian Simpang Renggam, malam tadi.

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Ayob Khan berkata, pihaknya menyiasat segala aspek termasuk subahat, bersekongkol, rasuah atau kecuaian yang menyebabkan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, melarikan diri.

Malah beliau berkata, dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long Tiger meloloskan diri.

“Dua anggota polis berkenaan ditahan kerja dan biasanya kes-kes anggota polis apabila mereka dituduh di mahkamah akan digantung kerja sehingga habis proses rayuan sebelum kita ambil tindakan selanjutnya.

“(Dalam kes) ini walaupun tidak dituduh di mahkamah tetapi membabitkan kes serius, (maka) kita ambil tindakan tahan kerja,” katanya.

Pada Rabu minggu lalu, Long Tiger yang diambil dari Penjara Sungai Udang dipercayai melarikan diri melalui pintu utama pada pukul 11.55 pagi ketika menunggu proses perbicaraan terhadapnya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. 

Tertuduh juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya