Sg. Udang: Mohamad Ali fail petisyen 30 Disember - Utusan Malaysia

Sg. Udang: Mohamad Ali fail petisyen 30 Disember

MOHAMAD ALI MOHAMAD (kiri) dan MOHD. ALEEF YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada  20 November lalu, memfailkan petisyen mencabar keputusan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Aleef Yusof.

Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu akan diwakili tujuh peguam diketuai oleh Rosfinah & Co. memohon perintah mahkamah supaya kemenangan Mohd. Aleef dibatalkan dan pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kerusi berkenaan.

Peguam Rosfinah Rahmat berkata, petisyen itu dibuat sewaktu undian awal pada 16 November dan undian umum pada 20 November kerana beberapa alasan, iaitu kemenangan calon PN ada unsur rasuah dan pelanggaran peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Menjelaskan perkara tersebut, beliau berkata, petisyen juga menyatakan, ramai pemilih atau pengundi dalam kalangan komuniti tentera didapati menukar undi, tidak mengundi calon BN akibat perbuatan rasuah.

“Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya ada memberitahu dua minggu sebelum penamaan calon, Mohd. Aleef telah ditawarkan oleh bekas Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen untuk bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan habuan sejumlah wang yang besar.

“Penyogokan itu adalah di bawah Seksyen 10 (i) dan rasuah di bawah Seksyen 32 (a) dan Akta 5. Sogokan ini sememangnya satu perbuatan rasuah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Merdeka di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kesalahan pegawai pilihan raya, Rosfinah berkata, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Udang, di saluran tiga Dewan Borhan, hanya dua daripada tiga peti undi dilihat dibawa keluar dari dewan tersebut dan ia menimbulkan kesangsian.

Menurutnya, selain itu, seorang pengundi tentera pula didapati telah mengundi sebanyak dua kali dan wakil parti yang bertanding turut membuat bantahan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Beliau berkata, sebutan kes tersebut akan didengar di Mahkamah Tinggi Melaka pada 30 Disember ini.

Beliau berkata, Mohd. Aleef dinamakan sebagai responden pertama; Pegawai Daerah Melaka Tengah merangkap Pegawai Pengurus, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Pada PRN lalu, Mohd. Aleef yang mendapat 6,789 undian memenangi DUN Sungai Udang dengan majoriti 530 undian, di mana Mohamad Ali memperoleh 6,259 undian; calon Pakatan Harapan (PH), Hasmorni Tamby (2,035 undian) dan calon Bebas, Mohd. Zahar Hashim (471 undian).

Selain Rosfinah, enam lagi peguam yang mewakili Mohamad Ali ialah Mohd. Hafarizam Harun, Mohd. Adli Ithnin, Mohd. Khairul Nizam Abdul Kadir, Wan Hamidah Wan Ismail, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya