Bukan hanya pada wajah, bintik hitam boleh muncul di seluruh badan

Bukan hanya pada wajah, bintik hitam boleh muncul di seluruh badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai menganggap blackhead atau bintik hitam hanya berlaku pada wajah, namun masalah kulit itu sebenarnya boleh muncul di pelbagai bahagian badan termasuk belakang badan, dada, bahu, leher dan belakang telinga.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, bintik hitam atau open comedone terbentuk apabila liang roma tersumbat oleh campuran minyak kulit (sebum), sel kulit mati dan kotoran.

Menurutnya, apabila sumbatan tersebut terdedah kepada udara, kandungannya akan mengalami proses pengoksidaan sehingga permukaannya kelihatan berwarna hitam.

“Ramai menyangka warna hitam pada bintik hitam berpunca daripada kotoran, sedangkan ia sebenarnya terjadi akibat proses pengoksidaan apabila kandungan dalam liang roma terdedah kepada oksigen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terbentuk di bahagian tertentu badan

Dr. Hamidah berkata, bintik hitam boleh terbentuk di mana-mana bahagian badan yang mempunyai folikel rambut dan kelenjar minyak.

Namun, kawasan seperti belakang badan, dada, bahu, leher dan belakang telinga lebih kerap terjejas kerana mempunyai lebih banyak kelenjar minyak serta folikel rambut.

Bahagian belakang badan khususnya sering menjadi lokasi utama pembentukan bintik hitam kerana kawasan tersebut sukar dibersihkan dengan sempurna dan mudah mengalami pengumpulan peluh, minyak serta sel kulit mati.

Selain itu, peluh yang bercampur dengan minyak kulit dan sel kulit mati boleh meningkatkan risiko liang roma tersumbat, terutama dalam kalangan individu yang aktif bersukan atau mudah berpeluh.

“Peluh sahaja tidak menyebabkan bintik hitam. Masalah berlaku apabila peluh dibiarkan kering dan bercampur dengan minyak serta kotoran pada kulit sehingga menyumbat liang roma,” jelasnya.

Individu yang banyak berpeluh disarankan mandi secepat mungkin selepas melakukan aktiviti fizikal serta menukar kepada pakaian yang bersih bagi mengelakkan pengumpulan peluh dan kotoran pada kulit.

Perlu jaga kebersihan

kebersihan kulit perlu dijaga secara seimbang bagi mengelakkan masalah ini.

Kotoran, minyak dan sel kulit mati boleh terkumpul serta menyumbat liang roma jika seseorang tidak membersihkan badan dengan baik.

Pada masa yang sama, menggosok kulit terlalu kuat ketika mandi juga tidak digalakkan kerana boleh merosakkan lapisan pelindung kulit.

Pemakaian pakaian yang terlalu ketat boleh meningkatkan risiko pembentukan bintik hitam kerana ia menghalang pengudaraan kulit serta memerangkap haba dan kelembapan pada permukaan badan.

Katanya, risiko menjadi lebih tinggi sekiranya pakaian tersebut diperbuat daripada bahan yang kurang pengudaraan seperti poliester, terutama bagi individu yang aktif bersukan atau mudah berpeluh.

Penggunaan pakaian yang lebih longgar dan mempunyai pengudaraan yang baik boleh membantu mengurangkan risiko liang roma tersumbat.

Elak bahan berminyak

Pemilihan produk penjagaan kulit yang sesuai juga penting bagi mengelakkan liang roma daripada tersumbat.

Sesetengah losen dan produk mandian yang terlalu pekat atau kaya dengan bahan berminyak seperti mineral oil, lanolin dan cocoa butter berpotensi menyumbat liang roma, terutama jika digunakan secara berlebihan atau tidak dibersihkan dengan sempurna.

Tambahnya, perapi rambut (conditioner) yang terkena pada bahagian belakang badan dan tidak dibilas dengan bersih juga boleh menyumbang kepada pembentukan bintik hitam kerana teksturnya yang lebih pekat dan mudah meninggalkan sisa pada kulit.

Selain faktor luaran, perubahan hormon turut memainkan peranan dalam pembentukan bintik hitam.

Keadaan ini sering berlaku dalam kalangan individu yang mempunyai masalah hormon seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), yang boleh meningkatkan pengeluaran sebum dan menjadikan liang roma lebih mudah tersumbat.

Cara untuk mencegah

Bagi mengurangkan risiko bintik hitam, penggunaan produk penjagaan kulit yang mengandungi bahan aktif seperti salicylic acid (BHA), glycolic acid, lactic acid, niacinamide dan retinol boleh membantu.

Bahan-bahan ini berfungsi membersihkan liang roma, mengawal pengeluaran minyak dan menanggalkan sel kulit mati yang boleh menyebabkan penyumbatan.

Orang ramai juga tidak digalakkan memicit bintik hitam sendiri kerana ia boleh menyebabkan keradangan, parut dan menolak sumbatan lebih dalam ke dalam kulit.

Selain penjagaan kulit, gaya hidup sihat turut memainkan peranan penting. Pengambilan makanan tinggi gula, karbohidrat ringkas dan produk tenusu secara berlebihan boleh meningkatkan pengeluaran sebum, sekali gus mencetuskan bintik hitam.

Dalam masa sama, stres juga boleh memberi kesan kepada kulit kerana ia meningkatkan hormon kortisol yang merangsang penghasilan minyak berlebihan.

Rawatan

Beliau berkata, rawatan profesional perlu dipertimbangkan jika bintik hitam tidak berkurang walaupun selepas penggunaan produk sesuai atau apabila menunjukkan tanda keradangan seperti kemerahan, bengkak dan jerawat yang lebih besar.

Individu yang mengalami bintik hitam berlebihan sehingga menjejaskan keyakinan diri juga digalakkan mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.

Katanya, bintik hitam yang dibiarkan tanpa rawatan boleh dijangkiti bakteria dan seterusnya menyebabkan keradangan yang lebih serius sehingga berkembang menjadi bisul.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan masalah bintik hitam dan menjaga kesihatan kulit badan sama seperti kulit wajah supaya tidak menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan yang kompleks.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN