JAKARTA: Agensi Makanan Nasional Indonesia (Bapanas) memaklumkan harga beras di bawah program Penstabilan Harga dan Bekalan Makanan (SPHP) kekal tidak berubah meskipun nilai rupiah menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pengarah SPHP Bapanas, Maino Dwi Hartono berkata, kerajaan memberi jaminan turun naik kadar pertukaran dolar AS tidak akan menjejaskan harga beras yang dijual menerusi program berkenaan.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto untuk melindungi kuasa beli rakyat, sama seperti keputusan mengekalkan harga bahan api bersubsidi.
“Dengan cara ini, rakyat boleh berasa lebih tenang,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan syarikat logistik milik kerajaan, Bulog, akan terus memastikan kualiti beras SPHP dikekalkan.
“Turun naik kadar pertukaran boleh memberi kesan kepada banyak sektor, termasuk makanan. Namun, memandangkan beras SPHP merupakan program kerajaan, tiada sebarang perubahan setakat ini, termasuk dari segi harga runcit,” katanya.
Beras SPHP dijual pada harga 12,500 rupiah (RM2.78) sekilogram di Pulau Jawa, Lampung, Sumatera Selatan, Bali, Nusa Tenggara Barat dan Sulawesi.
Harga beras itu ditetapkan pada 13,100 rupiah (RM2.91) sekilogram di wilayah lain di Sumatera, Nusa Tenggara Timur dan Kalimantan, manakala pengguna di Maluku serta Papua membayar 13,500 rupiah (RM3) sekilogram.
Maino berkata, Bapanas memperuntukkan 4.97 trilion rupiah (RM1.1 bilion) bagi program SPHP 2026, yang mencukupi untuk menampung subsidi sekitar 828,000 tan beras. – AGENSI










