KUALA LUMPUR: Penyanyi, Heliza Helmi meluahkan rasa sebak apabila mendapat perkhabaran bangkai salah satu kapal Global Sumud Flotilla (GSF) telah sampai ke pantai Gaza.
Menerusi Threads, Heliza memaklumkan meskipun sukar perjalanan untuk menghantar bantuan kepada penduduk Gaza namun dia tetap yakin dan terus berdoa.
“Ya Allah… sebaknya tengok video kapal GSF yg hanyut akhirnya sampai ke pantai Gaza. Hanya Allah yang tahu betapa sukarnya perjalanan masing-masing untuk ke misi kali ini.
“Dengan tekanan yang bertimpa-timpa. Tapi berbekalkan yakin pada qada dan qadar Allah, solat dan sabar. Benarlah, Allah sentiasa dengar, Alhamdulillah ya Allah,” kongsinya.
Heliza bagaimanapun tidak berputus asa dan terus berdoa agar dipertemukan dengan anak-anak Gaza satu hari nanti.
“Terima kasih ya Allah.. Nantikan lagi ya duhai anak-anak Gaza. Jika belum dapat bersemuka kita bertemu dalam doa dan usaha. Jangan putus asa dengan doa duhai anak Gaza,” ujarnya.- UTUSAN










