PRU-15 hanya sesuai Julai 2022 atau 2023 - Penganalisis politik

PRU-15 hanya sesuai Julai 2022 atau 2023

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerhati politik dan pakar kesihatan mencadangkan masa sesuai membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekitar pertengahan tahun depan atau lebih elok pada 2023.

Mereka berpandangan, tidak wajar tergesa-gesa membubarkan Parlimen pada masa ini hanya untuk memenuhi desakan pihak tertentu selain pandemik Covid-19 belum benar-benar pulih di samping negara baru sahaja dilanda musibah banjir besar yang melanda lapan negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, sekiranya PRU-15 diadakan secara mengejut, keputusan tersebut juga menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Kata beliau, ini kerana rakyat di semua negeri masih bimbang dengan ancaman Covid-19 khususnya dengan kemunculan varian baharu Omicron.

Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan peratusan keluar mengundi menurun sekali gus memperlihat pilihan raya mengejut mendatangkan impak besar apabila rakyat tidak keluar kerana bukan sahaja bimbang dengan Covid-19 tetapi sudah muak dengan percaturan pemimpin politik yang sibuk merebut kuasa.

Justeru, beliau berpendapat, masa sesuai PRU-15 sekitar Julai tahun depan atau lebih baik menjelang pertengahan 2023.

“Pada 2022, kita jangka negara pada waktu itu telah pulih daripada wabak dan ekonomi semakin stabil.

“Dalam keadaan itu, rakyat sudah semakin stabil dan tiada ada alasan mereka tidak mahu keluar mengundi,” katanya.

Jelas Mazlan, walaupun kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini mempunyai sokongan tipis iaitu 114 ahli Parlimen, tetapi masih stabil menerusi pemeteraian memorandum persefahaman utama (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

“Jika sudah stabil, maka tiada keperluan mengadakan PRU-15 sekarang seperti desakan pihak tertentu dengan memberi alasan kerajaan tidak stabil,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri menjelaskan, sekarang bukan masa sesuai untuk beliau membubarkan Parlimen dan meminta semua pihak memberi masa kepadanya melaksanakan amanah sebagai Perdana Menteri meneraju kerajaan bagi memulihkan ekonomi dan masalah kesihatan rakyat.

Malah tiga komponen Barisan Nasional (BN) iaitu, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyerahkan tanggungjawab mengadakan pilihan raya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi City University Malaysia. Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barangan adalah dua faktor bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Menurut beliau, kerajaan perlu melihat terlebih dahulu sentimen rakyat berhubung dua faktor tersebut yang mana sekiranya perkara itu gagal diambil kira, kemungkinan berlaku penolakan terhadap parti pemerintah dalam kertas undi kelak.

“Ekonomi negara baru hendak pulih dan masih lembab, sekiranya mengadakan pilihan raya pada masa sekarang, proses pemulihan terjejas dan mendatangkan kesan kepada kehidupan rakyat.

“Justeru buat masa sekarang, kerajaan kena fokus untuk mengatasi masalah rakyat seperti kenaikan harga barang dan meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan. Maka kini bukan masa sesuai mengadakan PRU-15,” katanya.

Dalam masa sama, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh pula memberitahu, jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima serta kadar kematian akibat Covid-19 masih tinggi meskipun peratusan populasi rakyat lengkap divaksin telah meningkat.

Kata beliau, sekiranya pilihan raya diadakan sekarang kemungkinan bakal mengulangi situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan gelombang baharu Covid-19 sehingga menyebabkan peningkatan kes dua kali ganda.

Menurutnya, waktu sesuai pilihan raya diadakan sekiranya kes harian menurun secara stabil di bawah 2,000 kes selain melihat penurunan jumlah kematian dan jenis kategori pesakit.

“Memang tidak dinafikan kes harian Covid-19 menurun, tetapi tidak stabil dengan kadangkala 5,000 kes, kadangkala 4,000. Jadi perkara ini boleh mendorong penularan gelombang baharu tidak dikawal dengan lebih baik.

“Kalau buat PRU-15, kita seolah-olah mencari penyakit. Mungkin kes harian antara 4,000-5,000 boleh mencecah sehingga 10,000 kes sekiranya prosedur operasi standard (SOP) diabaikan sewaktu kempen berlangsung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN