PRN Sarawak: GPS ketengah 24 muka baharu - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: GPS ketengah 24 muka baharu

GABUNGAN Parti Sarawak mengumumkan meletakkan 82 calon di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak menampilkan 24 orang muka baharu sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12, 18 Disember ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, daripada kalangan calon tersebut terdiri daripada individu berusia 30 hingga 40 tahun yang diyakini dapat menjamin dan meneruskan kesinambungan GPS yang sudah menerajui kerajaan negeri selama empat tahun.

“Kita (GPS) kenalkan beberapa muka baharu kerana kita percaya bahawa mereka ini akan bersama-sama kita dan didedahkan dengan politik ala-Sarawak. Kerana politik Sarawak adalah politik yang memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan.

“Selain itu, pendedahan orang muda sudah tentu mempunyai cara mereka sendiri dan sebab itu, kalau lihat daripada senarai muka baharu berusi dalam 30-an. Inilah GPS, when we talk, we do it (apabila kami cakap, kami akan lakukan).

“Landskap politik Sarawak hanya orang Sarawak sahaja yang tahu. GPS juga meletakkan tema kita iaitu ‘Sarawak First‘ (Sarawak Dahulu) dan juga wawasan ekonomi kita yang berlandaskan landskap ekonomi baharu, berteraskan kepada digital ekonomi dan memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon GPS di ibu pejabat PBB, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulangi kenyataan bahawa gabungannya akan bertanding di semua 82 kerusi DUN Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan agihan setiap kerusi untuk parti-parti komponen dalam gabungan itu dan menegaskan pihaknya bertanding sebagai satu pasukan dinamakan GPS bukan berdasarkan parti masing-masing.

GPS dianggotai Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Saya percaya bahawa barisan calon kita adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan juga mereka boleh melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan DUN masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, GPS akan membentangkan manifestonya yang dijangka pada 8 Disember ini.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatal dan diungkaikan oleh kerajaan.

Pada 31 Julai lalu, Sarawak diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan, pada 30 Julai lalu dan berkuat kuasa mulai 2 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya