KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan segelintir warga Rohingya menggunakan kenderaan persendirian untuk mengangkut anak-anak daripada komuniti mereka ke sekolah selain menjalankan aktiviti pekerjaan harian.
Kegiatan itu dikesan menerusi Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.
Pengarah JPJ Terengganu berkata, Mohd. Zamri Samion berkata, keadaan itu membimbangkan kerana kebanyakan mereka didapati memandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL), cukai jalan (LKM) dan perlindungan insurans yang sah.
“Kita dapati ada antara mereka menggunakan kenderaan untuk kerja kontraktor dan ada juga menjadi penghantar anak-anak sekolah. Bila mereka sudah memiliki akses kepada kenderaan, mereka bebas bergerak di jalan kampung, bandar dan laluan utama sehingga meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang Ops PEWA dijalankan, sebanyak 114 kenderaan diambil tindakan dan disita.
“Sebanyak 559 saman P22 turut dikeluarkan selain 41 notis PG1 di bawah Seksyen 59. Daripada keseluruhan 114 warga asing yang diambil tindakan, seramai 93 orang melibatkan warga Myanmar atau Rohingya,” katanya.
Katanya, kesalahan paling tinggi direkodkan ialah memandu tanpa CDL melibatkan 221 kes.
“Selain itu, sebanyak 84 kes melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan 84 lagi kes kerana tiada perlindungan insurans,”katanya.
Mohd. Zamri berkata, siasatan mendapati kebanyakan kenderaan digunakan warga asing itu diperoleh menerusi kaedah sewa atau pinjam daripada rakyat tempatan.
Beliau berkata, terdapat individu tempatan yang dipercayai mempunyai sejumlah motosikal dan kenderaan untuk disewakan kepada warga asing secara berulang.
“Kita melihat perkara ini sebagai satu ekosistem yang merosakkan keselamatan jalan raya. Pemilik kenderaan juga tidak boleh lepas tangan kerana mereka secara tidak langsung memberi ruang kepada warga asing menggunakan jalan raya tanpa dokumen sah,” katanya.
Katanya, JPJ kini meneliti tindakan lebih tegas termasuk membawa kes ke mahkamah terhadap pemilik kenderaan di bawah peruntukan Seksyen 23 ( 1) dan Seksyen 90 (1). – UTUSAN










