Rahsia ‘lumayan’ pembiakan orkid di Belanda - Utusan Malaysia

Rahsia ‘lumayan’ pembiakan orkid di Belanda

FLORICULTURA menggunakan penanda genetik untuk mengenal pasti ciri-ciri istimewa pada pokok orkid. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik dunia pembiakan orkid yang penuh rahsia dan menguntungkan, menghasilkan varieti baharu bukanlah tugas mudah. Ia boleh mengambil masa sehingga sedekad sebelum berjaya dipasarkan.

Walaupun ganjarannya lumayan dengan pasaran global orkid bernilai ratusan juta dolar, persaingan untuk menghasilkan bunga yang lebih cantik dan unik amat sengit , justeru itu, dalam perlumbaan menghasilkan spesies orkid baharu, makmalnya kini sama pentingnya dengan rumah hijau.

Menurut syarikat pembiakan orkid Belanda, Floricultura, beratus tahun campur tangan manusia menerusi pembiakan semula atau terpilih menyebabkan latar belakang genetik banyak orkid komersial menjadi sangat kompleks.

Keadaan itu menjadikan ramalan terhadap ciri-ciri varieti baharu amat sukar.

Namun, dengan membangunkan penanda genetik bagi ciri tertentu seperti warna, bentuk, ketahanan penyakit dan tempoh berbunga, Floricultura serta pesaingnya berusaha mempercepat proses pembiakan terpilih.

Daripada menunggu sehingga tiga tahun untuk melihat bunga pertama muncul, pakar kini boleh menjalankan saringan genetik pada tumbuhan yang masih muda dan menyingkirkan mana-mana yang tidak memenuhi keperluan sejak awal lagi.

“Jika ribuan kacukan dihasilkan daripada makmal, kami boleh menyaringnya berdasarkan penanda genetik dan hanya memilih yang mempunyai ciri yang dicari,” kata Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan Floricultura, Wart van Zonneveld.

Teknik pembiakbakaan baharu ini dianggap ‘rahsia’ perdagangan penting yang perlu dikawal ketat. Setiap syarikat membangunkan penanda genetik serta proses tersendiri kerana itulah yang membolehkan mereka menghasilkan varieti unik.

“Kami menyimpannya sendiri kerana pelaburan yang diperlukan sangat besar,” katanya.

Penyelidik Pembiakan Tanaman Hiasan dari Universiti Wageningen di Belanda, Paul Arens berkata, asas pembiakan masih sama seperti ratusan tahun lalu iaitu memilih dua tumbuhan berdasarkan ciri-ciri tertentu dan mengacukkannya.

Namun, menurutnya, pengeluar hari ini turut menggunakan penyelidikan genomik, penanda genetik serta kajian kesihatan tumbuhan untuk meningkatkan peluang kejayaan.
“Genetik juga digunakan bagi melindungi hak harta intelek sesuatu varieti baharu. Jika sesebuah syarikat menghasilkan orkid baharu, mereka mahu hak eksklusif untuk mengkomersialkannya.

“Jika tidak, sesiapa sahaja boleh membeli tumbuhan tersebut, membiakannya dan menjualnya semula. Bagaimanapun,untuk mendapat perlindungan undang-undang, sesuatu varieti mesti terbukti berbeza daripada yang sedia ada, stabil dan seragam.

“Pembiakan adalah seni ‘membuang’, proses menyingkirkan tumbuhan yang gagal memenuhi sasaran tetapi pada masa sama, ia juga seni menggandakan yang terbaik,” kata Arens.
Di Floricultura, tumbuhan yang berjaya melalui pemilihan tidak lagi dibiakkan melalui benih, sebaliknya melalui proses pengklonan menggunakan meristem, sel yang membolehkan tumbuhan terus membesar sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun, teknik sebenar yang digunakan kekal menjadi rahsia syarikat.

Walaupun teknologi membantu mempercepat proses, pembiakan orkid masih memerlukan masa panjang serta sumber yang besar.
Tumbuhan memerlukan haba, cahaya, air dan nutrien secara konsisten selama bertahun-tahun sebelum ciri sebenar dapat dipastikan termasuk bentuk bunga, warna, jumlah batang dan ketahanan penyakit.

Anak pokok muda turut dihantar menggunakan pengangkutan udara ke India serta lori ke Poland sebelum kembali ke fasiliti Floricultura di Heemskerk, Belanda yang mempunyai lebih tujuh hektar ruang rumah hijau untuk pembangunan dan pengeluaran.

Syarikat itu juga mengumpul air hujan daripada bumbung rumah hijau dan mula mengitar semula air serta nutrien berikutan perubahan corak cuaca.

Mereka turut menggunakan telaga geoterma yang mengepam air bersuhu 102 darjah Celsius dari kedalaman tiga kilometer bawah tanah untuk menjana tenaga.

Di rumah hijau yang luas, kebanyakan proses dipermudahkan melalui automasi dengan dulang tanaman bergerak menggunakan sistem penggelek ke setiap peringkat penanaman. Namun, masih terdapat satu perkara yang kekal bergantung kepada manusia.

Walaupun teknologi mengubah cara varieti baharu dihasilkan, keputusan akhir mengenai sama ada sesuatu orkid layak memasuki katalog selepas hampir sembilan tahun pembangunan masih dibuat secara manual oleh Pengurus Pembiakan, Stefan Kuiper dan pasukannya.

“Sebuah tumbuhan mungkin memenuhi semua kriteria genetik dan menghasilkan semua ciri yang diingini. Tetapi untuk dijual, ia mesti cantik dan kecantikan itu masih ditentukan oleh mata manu­sia,” kata Kuiper. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN