Kanser prostat: Beban tersembunyi ditanggung penjaga

Beban tersembunyi ditanggung penjaga

WALAUPUN dalam keadaan sukar, penjaga perlu kekal tenang dan memberi sokongan kepada pesakit, di samping mengetahui had diri sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di Malaysia, kanser prostat adalah kanser ketiga paling kerap menyerang lelaki berumur 50 tahun ke atas. Risiko semakin meningkat selepas usia 60 tahun dengan sekurang-kurangnya tiga dalam lima lelaki menghidap kanser prostat didiagnos pada tahap lanjut.

Apabila insan tersayang menghidap kanser prostat, kehidupan seluruh ahli keluarga biasanya turut terjejas kerana perlu bersama memikul tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang sakit.

Diagnosis kanser sememangnya sentiasa mencabar dan kebimbangan setiap orang itu berbeza-beza. Sesetengah pesakit bimbang hilang keupayaan untuk berdikari atau menjadi beban kepada insan tersayang. Ada juga pesakit menganggap kanser sebagai hukuman mati.

Jururawat Berdaftar Quah Sui Jing berkata, bagi kebanyakan keluarga, penjagaan bermula secara tiba-tiba dan tugas ini semakin berat dengan perkembangan kanser.

 

“Anak dan ahli keluarga lain yang menjaga bapa yang semakin uzur terpaksa mengimbangi kerjaya di samping tugas mereka sendiri sebagai ibu bapa selain perlu menjaga emosi diri sendiri sebagai penjaga.

“Beban penjagaan ini membabitkan kedua-dua aspek fizikal dan emosi. Selain mereka membantu menguruskan temujanji, pada masa sama turut memberi sokongan emosi kepada pesakit. Ia boleh jadi sangat membebankan,”katanya.

Quah memberikan beberapa panduan untuk memudahkan penjaga dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Antaranya, menggunakan jadual ubat, bekas penyusun pil dan peringatan untuk temujanji.

Pesakit yang menjalani rawatan RLT lazimnya memerlukan ujian darah berkala, biasanya setiap dua hingga empat minggu dan kitaran rawatan pula dijarakkan beberapa minggu iaitu sekitar enam hingga lapan minggu.

“Beri bantuan apabila diperlukan tetapi biarkan pesakit berdikari jika keadaan mengizinkan. Sekiranya pesakit lemah, belajarlah cara untuk membantu mereka melakukan rutin harian seperti mandi, menjaga kebersihan diri dan bergerak dengan selamat di dalam rumah.

“Pertimbangkan penggunaan botol kencing atau lampin dewasa untuk kemudahan. Galakkan komunikasi terbuka. Sesetengah pesakit mungkin menyembunyikan kesakitan, keletihan atau tekanan emosi kerana tidak mahu membimbangkan keluarga,” katanya.

Katanya, walaupun gejala ringan boleh diuruskan di rumah atau dengan bantuan doktor keluarga, sebaiknya rujuk juga pasukan perawat. Bagi gejala yang lebih serius seperti sesak nafas atau muntah, segera hubungi pasukan perawat atau bawa pesakit ke Jabatan Kecemasan.

Penjaga juga perlu menggalakkan tabiat gaya hidup yang sihat. Aktiviti ringan, pemakanan seimbang dan pengambilan air yang secukupnya membantu pesakit kekal kuat untuk meneruskan rawatan.

Pesakit perlu berehat jika penat selepas menjalani rawatan bagi apa juga bentuk perubatan nuklear seperti terapi radioligand (RLT).

“Walaupun dalam keadaan sukar, penjaga perlu kekal tenang dan memberi sokongan kepada pesakit, di samping mengetahui had diri sendiri. Penjagaan diri bukan pilihan tetapi satu keperluan.

“Berkongsi tanggungjawab dengan ahli keluarga lain, mendapatkan sokongan emosi dan berhubung dengan kumpulan sokongan penjaga atau pesakit dapat membantu mencegah kelesuan melampau,” terangnya.

Galakkan jalani ujian saringan

Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Perubatan, Dr. Ang Soo Fan berkata, kanser prostat sering lewat dikesan berikutan ketiadaan saringan kanser secara rutin dan kecenderungan menganggap tanda amaran awal seperti sukar buang air kecil sebagai sebahagian daripada proses penua­an.

Apabila lewat didiagnos, kesan penyakit pada tahap lanjut seperti sakit tulang, kesukaran menjalani aktiviti harian dan jangka hayat yang lebih singkat tidak hanya dirasai oleh pesakit, bahkan seluruh keluarga.

“Oleh kerana penjagaan kanser prostat boleh menjadi rumit, maka pesakit akan mendapat manfaat terbaik daripada pendekatan bersepadu yang mengga­bungkan pelbagai bidang membabitkan pakar onkologi, urologi, perubatan nuklear dan jururawat khusus.

“Pendekatan bersepadu ini memastikan pilihan rawatan disesuaikan untuk setiap pesakit dan dibuat dengan maklumat lengkap. Ia juga membolehkan keluarga untuk terbabit sejak awal, terutama apabila keputusan bersama diperlukan,” katanya.

Katanya ketika sesi konsultasi, ahli keluarga digalakkan untuk bertanya sebarang soalan yang dapat membantu mencapai hasil rawatan yang lebih baik untuk insan tersayang.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Nuklear, Dr. Alex Khoo Cheen Hoe berkata, bagi kebanyakan pesakit, perjalanan bermula dengan penentuan tahap penyakit dan sejauh mana kanser sudah merebak.

“Imbasan yang dikenali sebagai pengimejan PSMA, iaitu antigen membran khusus prostat membolehkan doktor untuk mengesan kanser prostat dengan lebih tepat, walaupun ketika tumor masih kecil atau sukar dilihat.

“Ini membolehkan pengesanan yang lebih awal dan tepat untuk menentukan lokasi dan tahap penyebaran kanser, terutama dalam populasi seperti di Malaysia, di mana ramai pesakit didiagnos pada peringkat lanjut,” katanya.

Semua in sangat melegakan pesakit dan penjaga, kerana mereka boleh melihat dengan jelas apa yang berlaku sepanjang rawatan, sekali gus membantu mengurangkan kebimbangan serta memberi dorongan untuk pesakit meneruskan rawatan.

Dalam kes kanser tahap lanjut di mana rawatan standard tidak lagi sesuai atau berkesan, terapi radioligand (RLT) boleh dipertimbangkan. Pengimejan PSMA PET juga memainkan peranan dengan ‘menyuluh’ sel kanser prostat secara tepat, seperti sebuah dron memantau sasaran.

Ini membolehkan RLT menyerang tumor dengan tepat dan jitu, sambil meminimumkan kesan terhadap tisu sihat disekelilingnya. Bagi pesakit, kaedah ini memberi kesan sampingan yang lebih ringan dan mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik sepanjang tempoh rawatan.

“Sesetengah pesakit dapat kembali bekerja dan meneruskan aktiviti harian. Rawatan juga memberi mereka peluang menikmati detik bermakna untuk menghadiri acara penting dan merancang masa hadapan.

“Namun, kami juga sangat realistik, khususnya dengan pesakit kanser prostat peringkat lanjut, bahawa penyakit ini boleh berulang walaupun selepas rawatan yang berjaya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN