PM saksi tujuh pertukaran MoU pemerkasaan bumiputera - Utusan Malaysia

PM saksi tujuh pertukaran MoU pemerkasaan bumiputera

KETUA Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad menyerahkan dokumen perjanjian persefahaman kepada Md. Silmi Abdul Rahman sambil disaksikan Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad (dua dari kiri)  pada Majlis Pelancaran TPB2030 di KLCC, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan ekonomi gig adalah antara memorandum yang dimeterai antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bersama pelbagai pihak dan syarikat bagi memperkasa ekonomi bumiputera.

Semua MoU itu dimeterai dalam Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir menyaksikan pertukaran tujuh dokumen antara Teraju dan pihak-pihak berkaitan.

Majlis dimulakan dengan inisiatif Mesra Mart di bawah Ekonomi Gig Kolaborasi Teraju dan Petronas Dagangan Berhad untuk pembangunan rantaian bekalan bumiputera melalui ekosistem kedai Mesra Petronas.

Selain itu, MoU kebolehpasaran graduan bumiputera menerusi pensijilan profesional melalui kerjasama Teraju dan Microsoft bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi program pensijilan professional dalam bidang berteraskan IR 4.0 dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu, MoU seterusnya membabitkan kerjasama strategik menambah baik pendidikan prasekolah golongan asnaf dan B40 membabitkan kerjasama tiga penjuru iaitu antara Teraju, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Brainy Bunch untuk menaik taraf kualiti pendidikan pendidikan prasekolah bagi kumpulan itu.

Empat pertukaran lain adalah membabitkan sektor kebolehpasaran usahawan, program digital start up, penyertaan bumiputera dalam perolehan kerajaan dan memperkasa usahawan bumiputera melalui peningkatan kapasiti dan keupayaan modal insan serta perkongsian data.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd Rahman berkata, pembangunan TPB2030 adalah satu hala tuju yang akan membuka peluang kepada bumiputera bagi mengalihkan fokus kepada sektor berimpak tinggi untuk menjadi industri masa hadapan.

Katanya, semangat di sebalik TPB2030 ini adalah untuk melahirkan generasi baharu bumiputera berwibawa, berpaksikan nilai murni, sahsiah jati diri yang berintegriti, tidak bertongkat, tabah, berdikari dan kompetitif daripada segi usaha dan pemikiran.

“Generasi yang berkebolehan, kelayakan serta mempunyai pengiktirafan agar berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan.

TPB2030 meletakkan enam sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030 iaitu sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) perusahaan bumiputera sebanyak 20 peratus kepada KDNK bernilai RM438 bilion.

Selain itu, gaji upah pada kadar RM5,169.12, pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68, Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65, Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.

Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya