MB Johor 'terharu' jemputan pemimpin DAP, belum terima surat rasmi jemputan

MB Johor ‘terharu’ jemputan pemimpin DAP, belum terima surat rasmi jemputan

Onn Hafiz Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ‘terharu’ mendapat jemputan ‘ikhlas’ daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.

Namun, Onn Hafiz berkata, beliau masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk hadir mewakili Kerajaan Johor.

“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak media bahawa “jemputan” tersebut dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam semalam.

“⁠Walaubagaimanapun, saya tetap terharu dengan “keikhlasan” jemputan ini. Sekurang-kurangnya, Kerajaan Negeri Johor akhirnya “dijemput”, walaupun program ini telah dirancang sejak lebih seminggu lalu,” tulisnya dalam hantaran di Facebook miliknya malam tadi.

Menurut Onn Hafiz, ⁠beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadualnya memandangkan pelaksanaan projek tersebut adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik.

Jelasnya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza.

Tambahnya, sebelum ini, beberapa program MOT di negeri seperti lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan lawatan ke ETS Segamat di mana pihaknya termasuk Exco kerajaan negeri tidak dijemput.

“Terkini adalah pada 3 April lalu, lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput.

Namun beberapa pemimpin DAP Johor pula dilihat hadir dalam program.

“Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan pihak vendor/pembekal. Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor/pembekal?,” soalnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter ini dapat berjalan dengan baik.

Tambahnya, atas permohonan KTM, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000 selain menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.

“Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk “claim credit”, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.

“Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuk DAP. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN