Elak jayakan babak keterlaluan, Elvina Mohamad lepaskan tawaran drama saat akhir - Utusan Malaysia

Elak jayakan babak keterlaluan, Elvina Mohamad lepaskan tawaran drama saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Datin Elvina Mohamad rela melepaskan tawaran sebuah drama pada saat akhir kerana melanggar prinsip dan batasannya sebagai anak seni.

Menurut Elvina, dia lebih memilih untuk mengikut kata hatinya untuk tidak terlibat dalam pembikinan drama tersebut meskipun sudah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Kadangkala naluri kita memang tepat. Rasa teruja, tetapi dalam masa yang sama hati terasa berat. Entahlah, susah untuk digambarkan.

“Sepatutnya lusa saya sudah mula masuk set untuk sebuah telefilem. Saya sudah teruja kerana sudah lama tidak berlakon, tetapi akhirnya ia tidak menjadi kenyataan,” katanya di Threads.

Menurut Elvina, dia tidak akan berkompromi dengan pasukan produksi yang memaksa dirinya untuk menjayakan babak-babak yang kurang senang untuk dipertontonkan pada umum.

“Ini kerana pengarah, penerbit dan stesen televisyen tetap mahu meneruskan beberapa babak yang pada saya agak keterlaluan.

“Ada satu babak yang memerlukan saya didukung, dan satu lagi babak yang benar-benar membuatkan saya tidak selesa serta pada saya agak melampaui batas. Hendak bercerita pun rasa segan.

“Apabila saya meminta agar skrip diubah atau menggunakan helah kamera, mereka mengatakan perkara itu tidak boleh dilakukan,” jelasnya.

Elvina bagaimanapun tidak menyesal dengan keputusannya selain percaya ada rezeki yang lebih indah telah ditentukan Sang Pencipta.

“Pada akhirnya, saya mempunyai batasan dan prinsip sendiri. Ada perkara yang saya tidak selesa untuk lakukan. Jadi tidak mengapa. Mungkin rezeki ini bukan untuk saya. Insya-Allah, ada rezeki lain yang menanti,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN