Cadangan elaun pelajar Tingkatan Enam dibawa ke Kabinet minggu depan

Cadangan elaun pelajar Tingkatan Enam dibawa ke Kabinet minggu depan

FADHLINA Sidek ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada sesi Bicara Bersama Pemimpin sempena program POV Anak Muda: Ketidakpastian Realiti di Butterworth, Pulau Pinang petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka mengusulkan cadangan berhubung pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam ke mesyuarat Jemaah Menteri, minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika sesi soal jawab Bicara Bersama Pemimpin sempena program POV Anak Muda: Ketidakpastian Realiti di sini, hari ini.

“Jangan risau, minggu depan iaitu selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) balik dari Turkmenistan, dalam Jemaah Menteri, saya sendiri akan sampaikan mesej anak-anak (pelajar Tingkatan Enam) tentang elaun itu.

“Kerana apa? Kerana kita (KPM) faham. Kita faham keutamaan serta harapan anak-anak ini. Anak-anak di IPG (Institut Pendidikan Guru) pun sudah dapat (elaun) selepas kita perjuangkan isu itu.

“Jadi, anak-anak di Tingkatan Enam ini masih lagi kita perjuangkan untuk perkara tersebut,” kata beliau ketika menjawab soalan seorang peserta program berhubung elaun berkenaan.

Selain Fadhlina, sesi Bicara Bersama Pemimpin itu turut melibatkan dua ahli panel lain iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim serta Ketua Zon Utara bagi Kumpulan Kerja Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), Dr. M. Thanaraj.

Dianggarkan, lebih 900 peserta yang mewakili pelbagai latar belakang komuniti belia mengambil bahagian dalam program anjuran Persatuan Gagasan Anak Watan Malaysia dan Merdeka Centre bersama beberapa rakan strategik lain itu.

Sementara itu, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menekankan mengenai kepentingan mengawal literasi politik dalam kalangan generasi muda ketika ini.

Beliau berkata, hal ini demikian kerana, maklumat mengenai perkara itu hari ini banyak dicorakkan melalui pendedahan yang dikongsikan di dalam media sosial sahaja.

“Jadi, kalau perkara ini (literasi politik) tidak dijaga dengan baik, maka, ia akan membentuk naratif serta persepsi yang salah sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN