Saya tunggu jemputan rasmi Anthony Loke - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Saya tunggu jemputan rasmi Anthony Loke – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk memenuhi undangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk menaiki komuter bersama pada program rasmi kerajaan, Selasa depan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum menerima surat jemputan rasmi dan butiran program daripada Kementerian Pengangkutan berhubung program berkenaan.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk hadir dan akan melapangkan jadual bagi tujuan tersebut. Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik.

“Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, pihaknya hanya dimaklumkan berhubung jemputan berkenaan oleh pihak media selepas dijemput secara ‘rasmi’ ketika program politik iaitu Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan, malam semalam.

“Saya terharu dengan jemputan ini, sekurang-kurangnya kerajaan negeri akhirnya dijemput walaupun program telah dirancang sejak lebih seminggu lalu. Sebelum ini beberapa program kementerian, saya atau exco bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi.

“Antaranya melibatkan program lawatan ke CIQ, pengumuman VEP serta lawatan ke ETS Segamat. Terkini pada 3 April lalu, Menteri Pengangkutan melawat tapak RTS Link, kerajaan negeri sekali lagi tidak dijemput tetapi beberapa pemimpin DAP Johor pula hadir,” katanya.

Onn Hafiz turut memberitahu, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP.

“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.

“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual bagi tujuan tersebut,” katanya.

Habis..

Caption:

Onn Hafiz Ghazi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN