Perkongsian dana awam-swasta jamin kos efektif HSR - Utusan Malaysia

Perkongsian dana awam-swasta jamin kos efektif HSR

DR. AIMI ZULHAZMI ABDUL RASHID dan DR NUR SURAYYA MOHD. SAUDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Adalah lebih baik kerajaan memilih pelaburan menerusi perkongsian awam-swasta yang dilihat lebih praktikal sekiranya mahu menyambung semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kos pembinaan HSR menjadi lebih efektif.

“Sekiranya pihak swasta mahu membina HSR, mereka sememangnya akan memastikan ia benar-benar praktikal atau sebaliknya. Sebagai contoh, dengan konsesi misalnya dalam 30 tahun mereka akan berjaya membuat keuntungan biarpun dengan pelaburan besar. Ia lebih baik daripada kerajaan sendiri yang mengeluarkan wang atau meminjam sehingga mendatangkan bebanan.

“Apatah lagi dengan hutang kerajaan yang terus bertambah melalui pelbagai polisi fiskal dan Bajet 2022,” jelasnya kepada Mingguan Malaysia.

Isnin lalu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan projek berkenaan walaupun sebelum ini kedua-dua negara bersetuju menamatkan projek terbabit.

Bagaimanapun, Malaysia terpaksa membayar pampasan sebanyak SG$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura membabitkan pembangunan projek HSR serta lanjutan penangguhannya.

Kedua-dua negara terbabit telah mencapai persetujuan berhubung jumlah tersebut susulan proses verifikasi yang dijalankan kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd. Saudi berkata, sekiranya kerajaan tetap mahu meneruskan projek yang pernah menimbulkan pelbagai pertikaian sebelum ini, ia perlu dilaksanakan secara berfasa terlebih dahulu.

Malah katanya, kos pembinaan HSR juga perlu dikurangkan dengan menyerap nilai pampasan yang telah dibayar lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan pihak yang sama.

“Teknik berunding dalam menyelesaikan masalah adalah penting agar kos baharu nanti tidak meragut ekonomi negara.Tambahan pula, pembangunan HSR akan merancakkan ekonomi Malaysia dengan penawaran peluang pekerjaan baharu dan kehadiran pelabur asing.

“Justeru, walaupun pelaburan untuk menjalankan HSR adalah tinggi, ia tetap memberi banyak manfaat sekiranya dipandang dalam sudut faedah jangka panjang,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN