DALLAS: Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu memohon maaf atas keputusannya yang tidak menyenaraikan pemain bintang Liverpool, Wataru Endo dalam skuad akhir Samurai Biru di Piala Dunia 2026.
Selepas keputusan itu, Endo mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa kerana gagal pulih daripada kecederaan menjelang aksi pembukaan Jepun menentang Belanda di Dallas, esok.
Moriyasu, yang menyasarkan untuk membawa Jepun menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama, menjelaskan keputusan mengetepikan Endo dibuat olehnya sendiri berdasarkan tahap kecergasan pemain itu.
“Saya menilai sama ada dia mampu beraksi atau tidak, dan sama ada dia boleh terus berada dalam pasukan atau tidak. Saya yang membuat keputusan muktamad
“Saya berasa sangat bersalah kerana terpaksa memberitahu Endo keputusan itu. sudah tentu saya tidak tahu sepenuhnya apa yang dirasainya, tetapi dia menerima keputusan itu dengan penuh pemahaman dan hormat.
“Sudah tentu Endo kecewa. Ahli keluarganya, orang yang menyayanginya serta penyokong yang sentiasa memberikan sokongan juga turut kecewa.
“Saya ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada mereka semua. Namun demi pasukan dan negara, keputusan itu terpaksa dibuat. Ia sangat sukar,” kata Moriyasu dalam nada sebak.
Endo membuat penampilan sulung bersama Jepun pada 2015 dan menamatkan karier antarabangsanya dengan 73 penampilan serta empat gol.
Jepun dilihat sebagai antara pasukan yang mampu mencipta kejutan di Piala Dunia kali ini selepas mempamerkan aksi meyakinkan termasuk menewaskan England di Wembley sebelum kejohanan itu.
Moriyasu yakin ketiadaan Endo serta pemain sayap Brighton & Hove Albion, Kaoru Mitoma yang turut mengalami kecederaan tidak akan menjejaskan fokus pasukannya.- AGENSI










