Penurunan kuasa bantu tingkat industri perikanan laut dalam - Utusan Malaysia

Penurunan kuasa bantu tingkat industri perikanan laut dalam

RONALD Kiandee (kiri) menyerahkan surat pemberian kuasa perikanan laut dalam kepada Jeffrey Kitingan (tiga kiri) sambil disaksikan oleh Hajiji Noor (dua kiri), Maximus Ongkili (dua kanan) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) di Mini Auditorium DUN di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Industri perikanan laut dalam di Sabah dijangka terus berkembang menerusi penurunan kuasa mengeluarkan permit dan lesen kepada Jabatan Perikanan negeri.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, apabila kuasa penuh diberikan kepada Jabatan Perikanan Sabah, ia akan memudahkan urusan pengeluaran permit dan lesen vesel bersesuaian dengan kapasiti yang ada.

“Jabatan Perikanan negeri akan menentukan permintaan berkaitan lesen perikanan laut dalam. Pemberian kuasa ini bermula daripada penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehingga pengeluaran permit lesen vesel dan peralatan penangkapan ikan laut dalam zon C2, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan secara bersama.

“Keputusan penurunan kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Sarawak itu diputuskan semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 18 Oktober lalu,” katanya semasa penyerahan surat penurunan kuasa perikanan laut dalam Sabah di Mini Auditorium Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ronald berharap penurunan kuasa itu akan terus merangsang pertumbuhan industri perikanan laut dalam di Sabah.

Katanya, keputusan bersama itu juga diharap dapat memanfaatkan Kerajaan Persekutuan dan negeri dari segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan perairan dan hubungan antarabangsa.

Pemberian kuasa ini memberi ruang kepada Sabah untuk melaksanakan dasar-dasar sedia ada mahupun dasar baharu berkaitan pengurusan perikanan yang bersesuaian dengan keperluan industri perikanan Sabah mengikut norma pengurusan perikanan antarabangsa.

Pada masa ini, Sabah mempunyai 30,486 orang nelayan yang menghasilkan sejumlah 206,703 tan metrik ikan setahun dengan kutipan hasil lebih RM1.2 bilion.

Langkah penurunan kuasa ini akan membantu menjayakan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030 bagi pembangunan industri tuna negara.

Dalam majlis itu, Ronald menyerahkan surat pemberian kuasa kepada Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya