Penubuhan DNB turut libatkan KKMM - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Penubuhan DNB turut libatkan KKMM – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kewangan menjelaskan penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) telah diatur sejak 2019 dengan penglibatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Kewangan sebenarnya saling bekerja rapat dengan KKMM dan agensi kawal selianya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), terutama bagi menambah baik kesalinghubungan digital di negara ini.

“Saya juga sentiasa berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, dahulu dan sekarang, dan saya akan terus bekerjasama rapat dengan menteri terlibat untuk kesejahteraan ekonomi digital negara kita.

“Banyak kenyataan tidak tepat yang dilaporkan oleh beberapa media mengenai isu ini, jadi saya ingin memberi pencerahan agar tidak timbul kekeliruan lagi mengenai perkara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat berkata, tiada perundingan antara Kementerian Kewangan dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai sebahagian pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN).

Tengku Zafrul berkata, DNB ditubuhkan untuk menyegerakan pelancaran 5G di Malaysia yang dianggap ketinggalan berbanding Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina yang sudah melancarkannya seawal 2019.

Pada masa sama katanya, pembinaan rangkaian 5G oleh Ericsson adalah dengan menggabungkan penyewaan menara dan pajakan gentian sekali gus mengguna pakai infrastruktur sedia ada.

“Dakwaan bahawa DNB akan jual pula pada telco jadi dua kali ganda peningkatan juga tidak berasas sebaliknya DNB mengenakan caj kurang dari 20 sen bagi setiap gigabit (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi.

“Selain itu, kepentingan kontraktor Bumiputera dalam projek ini juga tidak diketepikan sebaliknya lebih 60 peratus kontraktor Bumiputera diberi peluang dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Katanya, beliau harap penjelasan ini akan mengakhiri segala kekeliruan mengenai model SWN yang diguna pakai berserta manfaat-manfaat yang jelas merupakan satu penyelesaian win-win (menang menang) bagi kesemua pihak.

Jelasnya, kerajaan akan terus memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G, pelaksanaan yang cepat serta harga mampu milik bagi 5G untuk seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu atau perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN