JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz enggan menganggap skuad kendaliannya sebagai pasukan bukan pilihan ketika berdepan juara bertahan, Al-Ahli pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi, malam ini.
Bagaimanapun, Munoz akui pertembungan menentang kelab gergasi Arab Saudi itu merupakan perlawanan paling penting dalam sejarah kelab dan mereka perlu berjuang bermati-matian bagi meraih kemenangan.
Katanya, skuad Harimau Selatan perlu tampil dengan corak dan taktikal permainan yang ampuh bagi menewaskan skuad kendalian Matthias Jaissle yang diperkuatkan dengan bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Ivan Toney dan Riyad Mahrez.
“Kita berdepan laluan sukar di peringkat suku akhir ACLE, bagaimanapun saya tak melihat JDT sebagai pasukan ‘underdog’, untuk sampai ke tahap ini, situasi ini tak dapat dielakkan. Tidak dinafi pasukan lawan memiliki barisan pemain berkualiti, namun apa jua boleh berlaku di atas padang.
“Justeru, pemain diingatkan supaya tidak memandang tinggi pasukan lawan dan bermain sebagai satu unit mengikut taktikal yang dicaturkan, saya percaya elemen kejutan boleh membantu JDT,” katanya.
Menurut bekas pengendali Watford itu, JDT akan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi dari minit pertama dan berusaha keras bagi mendapatkan gol pembukaan seawal mungkin.
Tambahnya, pemain juga perlu cepat membaca permainan sebaik mungkin bagi membolehkan pasukan beraksi dengan teratur dan memberi tekanan kepada pasukan lawan.
“Dalam perlawanan getir seperti ini, bukan mudah mencipta gerakan gol. Oleh itu, jentera serangan perlu mempertajam sentuhan bagi memastikan setiap serangan dihasilkan tidak disia-siakan begitu sahaja,” katanya.-UTUSAN










