Pengebom ikan nekad terjun laut elak dicekup - Utusan Malaysia

Pengebom ikan nekad terjun laut elak dicekup

BOM pam yang ditinggalkan suspek di perairan Tanjung Wokong di Kota Kinabalu semalam dan (kanan) ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.-IHSAN Maritim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seorang lelaki nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan bagi mengelak dicekup pasukan keselamatan ketika sedang menjalankan aktiviti pengeboman ikan di perairan Tanjung Wokong semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, semasa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan rondaan di kawasan perairan tersebut kira-kira pukul 7.22 malam, didapati sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Apabila pasukan peronda menghampiri bot tersebut, suspek terus bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada ditangkap.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan terhadap bot pam tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan suspek menemukan beberapa fius dan kotak mancis kayu yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengeboman ikan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat tong berwarna merah yang penuh dengan pelbagai jenis ikan. Pemeriksaan awal terhadap ikan-ikan berkenaan mendapati bahagian perut ikan hancur dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Barang rampasan dan bot pam itu kemudiannya ditunda ke Jeti Maritim Sabah di Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan mengangkap ikan menggunakan bahan letupan. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM6 juta setiap seorang bagi pemilik kapal nelayan asing dan RM600,000 untuk setiap kru yang terlibat.

Untuk kapal nelayan tempatan pula boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tambah beliau, Maritim negeri Sabah turut memohon kerjasama komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah yang berlaku di lautan terutamanya pencerobohan bot nelayan asing.

Jelas beliau, komuniti maritim perlu peka dengan keselamatan diri serta keluarga semasa melakukan sebarang aktiviti rekreasi di pesisir pantai dan laut dengan mengambil kira perubahan keadaan cuaca agar tidak berlaku perkara tidak diingini semasa bercuti bersama keluarga. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN