KUALA LUMPUR: Menara Merdeka 118 menerima Sijil Perakuan Bomba (FC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penanda aras keselamatan bangunan di negara ini.
Sijil berkenaan mengesahkan bangunan itu memenuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ketat serta piawaian pematuhan di bawah perundangan Malaysia.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar berkata, Jabatan Bomba Metropolitan bersama Malaysia Supertall Secretariat (MSS) memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan piawaian keselamatan kebakaran.
“Ini bagi memastikan pembangunan bangunan super tinggi terus memenuhi keperluan keselamatan kebakaran bertaraf dunia.
“Bagi pembangunan berskala besar, standard ini hanya dapat dikekalkan melalui komitmen berterusan terhadap penyelenggaraan sistem, kesiapsiagaan operasi serta pematuhan prosedur keselamatan.
“Pelaksanaan sistem seperti SPKA turut memperkukuh kesiapsiagaan dan meningkatkan koordinasi semasa kecemasan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Bomba kepada Menara Merdeka 118, semalam.
Beliau berkata, tanpa sijil itu, premis yang gagal memperoleh perakuan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), khususnya Seksyen 33 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selaras komitmen terhadap penambahbaikan berterusan, Menara Merdeka 118 turut melaksanakan Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) baharu.
Pelaksanaan itu memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan melalui pemantauan masa nyata serta penyelarasan lebih berkesan bersama JBPM, khususnya dalam persekitaran bangunan pencakar langit yang kompleks.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Datuk Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd. Ibrahim berkata, sijil berkenaan merupakan pencapaian penting kerana mengesahkan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan kebakaran dan keselamatan nyawa.
Menurutnya, sebagai pembangunan mercu tanda, tanggungjawab itu melangkaui pematuhan semata-mata, sebaliknya merangkumi usaha memastikan keselamatan diterapkan dalam setiap aspek reka bentuk, sistem dan operasi bangunan.
“Pelaksanaan SPKA memperkukuh keupayaan keselamatan kebakaran dengan menyediakan lapisan jaminan tambahan melalui pemantauan dipertingkat dan tindak balas kecemasan lebih cekap.
“Sebagai pembangunan ikonik, Merdeka 118 perlu menetapkan penanda aras bukan sahaja dari segi skala dan aspirasi, tetapi juga aspek keselamatan,” katanya.
Menara Merdeka 118 turut disenaraikan sebagai antara pembangunan utama yang disokong MSS, organisasi keselamatan kebakaran baharu di Asia bagi bangunan melebihi 300 meter.
Pengiktirafan itu menambah senarai pencapaian menara berkenaan.
Baru-baru ini, ia menjadi bangunan pertama di Malaysia menerima pengiktirafan MD Nexus, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform perusahaan digital bernilai tinggi dengan sokongan infrastruktur kukuh dan ekosistem bersepadu.
Merdeka 118 juga menerima pensijilan LEED Platinum, penarafan platinum GreenRE dan Green Building Index serta Pensijilan WELL Platinum, iaitu tahap tertinggi di bawah WELL Building Standard di peringkat global.-UTUSAN










