KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) menyasarkan lebih 40 kerusi untuk mengekalkan penguasaan di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri, kekuatan jentera parti serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor.
“Itulah azam kita. Mudah-mudahan akan dipertahan dan kita mengharapkan pertambahan kerusi melebihi 40 seperti yang pernah kita peroleh dalam PRN Johor lalu,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Terengganu Equestrian Resort di sini, hari ini.
Mengulas keputusan BN Johor bertanding solo, Ahmad Zahid berkata, kerajaan yang dibentuk di Johor ketika ini adalah kerajaan ditunjangi BN yang diwujudkan sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, faktor itu memberikan asas kukuh kepada BN untuk mempertahan pendekatan meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN Johor.
“Saya ingin membetulkan persepsi bahawa kerajaan yang terbentuk di Johor adalah kerajaan BNl dan ditubuhkan sebelum kewujudan Kerajaan Perpaduan.
“Atas asas itulah dalam PRN lalu kita bertanding di semua 56 kerusi DUN dan mungkin mempunyai asas yang kukuh untuk meletakkan calon-calon di semua kerusi berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan calon, beliau berkata, proses penilaian masih berjalan walaupun Menteri Besar Johor telah mengemukakan senarai nama calon kepadanya.
Menurutnya, keputusan muktamad hanya dibuat selepas perbincangan dengan parti-parti komponen BN termasuk MCA dan MIC.
“Ini akan dimuktamadkan selepas saya mengadakan perbincangan dengan presiden-presiden parti komponen BN dan sudah tentu sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, BN tidak menutup ruang untuk terus berbincang dan mencapai persefahaman dengan mana-mana pihak termasuk rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita juga tidak pernah menutup pintu untuk terus mengadakan perbincangan dan memahat kesefahaman dengan rakan-rakan lain,” katanya yang juga Presiden UMNO.
Mengulas dakwaan keputusan bertanding secara solo boleh mencetuskan persepsi hubungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tidak sepakat, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Johor adalah Kerajaan BN dan bukannya Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, beliau memberi bayangan Menteri Besar Johor ketika ini akan terus dikekalkan sebagai ‘poster boy’ BN pada PRN Johor.
“Insya-Allah, atas perkenan Tuanku, kita akan mengekalkan ‘poster boy’ yang sedia ada iaitu Menteri Besar Johor,” katanya. – UTUSAN










