KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat mengerahkan skuad taktikal khas dan memperketat kawalan keselamatan pada satu acara yang menampilkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, semalam.
Anggota elit itu ditempatkan di setiap pintu masuk Bangi Avenue Convention Centre, lokasi Azam menyampaikan ucapan konvokesyen kepada penjawat awam yang kini ditauliahkan sebagai pegawai integriti bertauliah (CeIO) selepas mengikuti program anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) tahun lalu.
Selain skuad taktikal, beberapa laporan media menyatakan turut terdapat kehadiran polis dan polis bantuan di lokasi berkenaan.
Selain penambahan anggota keselamatan, dilaporkan pihak media juga perlu mendaftar serta mendapatkan pas khas sebelum dibenarkan memasuki dewan acara bagi majlis graduasi tersebut.
Bagaimanapun. acara yang bermula pukul 8.30 pagi itu berakhir tanpa sebarang insiden, dengan seramai 486 pegawai dari sektor awam dan swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – semuanya berpakaian jubah konvokesyen – menerima sijil setelah menamatkan program CeIO tahun lalu.
Dalam ucapannya, Azam berkata, pegawai-pegawai tersebut mampu membantu memperkukuh kawalan dalaman serta memupuk integriti dalam organisasi masing-masing.
“Program CeIO ini dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan, malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif,” katanya.
Pada penganjuran Wacana Ilmiah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur 7 April lalu yang dihadiri Azam, kecoh susulan tindakan dua lelaki membawa sepanduk dan cuba mencetuskan provokasi.- UTUSAN










