MANCHESTER: Michael Carrick menyifatkan kad merah yang dilayangkan kepada Lisandro Martinez sebagai keputusan paling teruk pernah disaksikannya.
Kad merah itu menjadi antara faktor utama Manchester United tewas 2-1 kepada Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.
Pengendali sementara itu meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan pengadil Paul Tierney yang melayangkan kad merah kepada Martinez pada separuh masa kedua selepas semakan VAR.
Menurut Carrick, anak buahnya tetap menunjukkan semangat juang tinggi meskipun berdepan keputusan yang dianggapnya tidak adil, terutama ketika cuba bangkit daripada ketinggalan dua gol.
“Pemain kekal positif dan berusaha mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini walaupun satu lagi keputusan mengejutkan menyaksikan Martinez dibuang padang,” kata Carrick.
Beliau turut mempertikaikan rasional keputusan itu dengan mendakwa insiden terbabit tidak wajar dianggap sebagai kesalahan serius sehingga perlu dihukum kad merah.
“Dalam dua perlawanan berturut-turut, kami berdepan keputusan yang merugikan. Tetapi yang ini antara paling teruk pernah saya lihat,” katanya.
Carrick menjelaskan situasi sebenar insiden berkenaan, dengan menyatakan bahawa tindakan Martinez berlaku selepas sentuhan awal daripada penyerang lawan, Dominic Calvert-Lewin.
“Dia terkena sentuhan di muka, hilang imbangan dan kemudian sekadar tersentuh rambut lawan. Ia bukan tarik, bukan agresif, tetapi terus dilayangkan kad merah,” tambahnya.
Pengendali itu turut mempersoalkan keputusan VAR yang mengarahkan pengadil menilai semula insiden berkenaan sebelum menukar keputusan asal kepada kad merah.
Akibat insiden itu, Martinez berdepan kemungkinan penggantungan tiga perlawanan, dan Carrick mengakui pihak kelab akan meneliti sama ada mahu mengemukakan rayuan.
Walaupun kecewa, Carrick menegaskan fokus pasukan kini terarah kepada baki saingan musim ini, termasuk aksi penting menentang Chelsea dalam usaha memastikan kedudukan dalam kelompok teratas liga terus terjamin.-AGENSI










