Hakim Danish tempah petak kedua di GP Itali

Hakim Danish tempah petak kedua di GP Itali

Hakim Danish beraksi cemerlang pada sesi kelayakan 2 selepas mencatat masa kedua terpantas di GP Itali, Litar Mugello, Itali, hari ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan perlumbaan daripada petak kedua pada Grand Prix (GP) Motosikal Itali di Litar Mugello, Itali, esok.

Anak muda yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu melakar masa sepusingan kedua terpantas 1 minit 54.880 saat (s) pada sesi kelayakan 2 (Q2), hari ini.

David Almansa daripada pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP mengungguli sesi tersebut dengan catatan masa 1:54.862s, manakala, pelumba GRYD-Mlav Racing, Joel Kelso di kedudukan ketiga menerusi lakaran masa sepusingan 1:54.987s.

Hakim Danish terpaksa memulakan pusingan kelayakan daripada Q1, selepas dia terjatuh pada sesi latihan rasmi, semalam.

Namun, pelumba berusia 18 tahun itu bangkit daripada kekecewaan tersebut untuk berada di kedudukan kedua pada Q1 (1:55.840s) dan sekali gus, melayakkannya bersaing dalam Q2.

Memulakan perlumbaan sebenar di petak kedua, merupakan keputusan terbaik yang dicatatkan anak jati Terengganu itu sejak bergelar pelumba tetap musim ini.

Hakim Danish kini menghuni kedudukan ke-11 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3 selepas mengumpulkan 27 mata.

Dia kini berada di landasan terbaik bagi menentukan keputusan podium pertamanya, seperti mana yang disasarkan SIC Racing pada awal musim-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN