KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia(PSM) menerima peruntukan sebanyak RM3 juta bagi memperkukuh pembangunan dan penganjuran sukan tradisi itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2 juta, manakala RM1 juta lagi disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Anwar berkata, peruntukan khas itu bukan sekadar sokongan kewangan, malah memberi fokus kepada kebajikan pemain serta kelangsungan operasi PSM dan akademi berkenaan.
“Saya mahu pastikan kebajikan pemain terjaga, termasuk aspek latihan, makan minum, keselesaan dan pakaian mereka.
“Selain itu, dana ini juga untuk memperkukuh perjalanan persatuan dan pembangunan akademi. Sebab itu saya luluskan RM2 juta sempena pelancarannya,” katanya.
Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menyifatkan pengumuman tersebut sebagai durian runtuh yang amat dinanti-nantikan badan induk itu.
Katanya, suntikan dana itu mampu meringankan beban kewangan PSM, khususnya dalam menguruskan kompleks akademi serta merancang program pembangunan jangka panjang.
“Alhamdulillah, ini satu komitmen besar kerajaan. Dana ini penting untuk pembangunan pemain, pengurusan kompleks dan juga penganjuran kejohanan.
“Kita tidak mahu isu kewangan mengganggu perancangan. Dengan bantuan ini, perjalanan akademi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui peningkatan kos penganjuran sehingga 30 peratus akibat tekanan ekonomi global menjadi cabaran utama, namun keadaan masih terkawal.
“Kenaikan kos seperti pengangkutan dan penginapan memang berlaku, tetapi setakat ini masih dalam pemantauan dan tidak menjejaskan perancangan,” katanya.-UTUSAN










