Pemilihan UMNO boleh diadakan November 2022 - Utusan Malaysia

Pemilihan UMNO boleh diadakan November 2022

MOHAMAD Hasan hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemilihan UMNO dijangka boleh diadakan pada November tahun depan dengan pemilihan di peringkat cawangan diadakan selewat-lewatnya Julai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia mengambil kira situasi pemilihan parti itu perlu diadakan sebelum hujung tahun depan selain keperluan untuk parti menyelesaikan aduan-aduan yang diterima semasa pemilihan diadakan.

“Pemilihan parti ini memang perlu diadakan tahun depan, sebab penggal yang ada ini akan berakhir sehingga hujung Disember 2022 nanti. Jika habis penggal hujung tahun, pemilihan di peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya bulan Julai mesti diadakan.

“Dua bulan lagi untuk kita tangguhkan mesyuarat di antara cawangan dan juga bahagian kerana semasa musim pemilihan ini, macam-macam perkara, aduan-aduan mesti kita selesaikan dahulu sebelum kita adakan mesyuarat perwakilan bahagian.

“Kemudian dua bulan lagi, sampai bulan November, boleh kita adakan pemilihan Pusat dan bahagian yang dibuat serentak di bahagian-bahagian,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2021 di sini hari ini.

Mengulas pandangan supaya pemilihan UMNO diadakan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Mohamad berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan supaya lima orang kepemimpinan tertinggi parti akan mengadakan perbincangan mengenainya.

“Mesyuarat MKT baru-baru ini telah memutuskan supaya bagi pihak parti iaitu lima pemimpin tertinggi dengan dalam itu ada juga Perdana Menteri, supaya kita berbincang elok-elok sebaik mungkin untuk parti. Apa yang kita buat adalah apa yang terbaik untuk parti. Kita tidak boleh buat sesuatu yang kadangkala boleh menyebabkan parti mendapat akibat yang tidak baik.

“PRU-15 ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti dan juga pucuk pimpinan negara untuk berunding dan mencari kata sepakat dengan parti sudah bersedia dan kerajaan juga sudah bersedia. Walaupun kita mahu supaya PRU-15 awal, yang boleh bubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri ialah Yang di-Pertuan Agong.

“Pemimpin parti dan pemimpin kerajaan akan duduk bersama-sama, pemilihan parti dan juga PRU-15 akan dibincangkan bersama, kita mahu cari yang baik maka apabila kita berunding sama-sama nanti, kita akan dapat kata sepakatnya,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau, tidak ada sebarang cadangan dalam mesyuarat MKT UMNO baru-baru ini supaya lima jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu kelak.

“Kami tidak membincangkan itu, UMNO parti demokrasi, siapapun boleh ingin mencabar, ramai yang mahu mencabar jawatan Presiden, Timbalan presiden, Naib Presiden, UMNO mengamalkan demokrasi yang benar-benar demokrasi, tidak macam dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN