PETALING JAYA: Lebih 9,600 rakyat Palestin termasuk wanita dan kira-kira 350 kanak-kanak masih ditahan oleh Israel dengan sebahagian mereka terpaksa melalui proses perundangan yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) berkata, antara pelanggaran serius adalah penyeksaan, penafian rawatan perubatan dan amalan penahanan pentadbiran berpanjangan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Katanya, penggunaan penahanan pentadbiran dan tribunal ketenteraan terhadap rakyat Palestin merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Amalan itu bercanggah dengan Perkara 9 Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) yang melarang penahanan sewenang-wenangnya. Angka tersebut menggambarkan krisis kemanusiaan yang masih berterusan, selain menuntut perhatian segera masyarakat antarabangsa.
“Sebahagian tahanan berdepan sistem perundangan yang menafikan hak asasi asas termasuk hak untuk dibicarakan secara adil dan terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
CENTHRA berkata, keadaan itu juga menjejaskan hak tahanan untuk mendapat perbicaraan adil dan terbuka seperti diperuntukkan di bawah Perkara 14 perjanjian sama.
Katanya, larangan mutlak terhadap penyeksaan serta layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah termaktub di bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Perkara 7 ICCPR.
“Isu berkenaan perlu turut dinilai berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat yang menetapkan tanggungjawab ke atas kuasa pendudukan dalam melindungi orang awam semasa perang,” katanya.
CENTHRA turut menyatakan sokongan terhadap Kempen Reben Merah sebagai tanda solidariti terhadap ribuan rakyat Palestin yang masih dipenjarakan.
Hari Tahanan Palestin yang disambut pada 17 April setiap tahun menjadi medan penting untuk mengangkat nasib tahanan Palestin dan mendesak tindakan lebih tegas daripada masyarakat antarabangsa. – UTUSAN









