MELAKA: Angkatan Muda Harapan (AMH) Negeri Melaka mengecam tindakan biadab rejim Zionis Israel yang menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia, ketika mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Ketua AMH Melaka, Muhammad Ridhuan Abu Samah menegaskan, tindakan tersebut adalah kezaliman nyata yang mencabul hak asasi manusia serta menghina prinsip kemanusiaan sejagat.
“Rakaman video yang tular jelas membuktikan bagaimana Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, menghina aktivis GSF dan menuduh mereka sebagai pengganas. Tuduhan itu amat jijik dan berniat menutup jenayah sebenar rejim Zionis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Muhammad Ridhwan berkata, delegasi GSF hadir dengan tujuan aman, membawa bantuan perubatan untuk rakyat Palestin yang dizalimi.
Katanya, penahanan tersebut bukan sahaja penghinaan kepada Malaysia, malah terhadap masyarakat dunia yang cintakan keamanan dan menolak penindasan.
“Misi GSF adalah usaha antarabangsa disertai rakyat pelbagai negara. Tindakan menghalang konvoi ini jelas menunjukkan Israel takut kepada suara solidariti dunia.
“AMH Melaka ingin menegaskan, kami tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman Israel. Kami berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan semua aktivis kemanusiaan yang berani menentang kekejaman ini,” katanya. – UTUSAN










