Lebih 71,000 rakyat Gaza terkorban

Lebih 71,000 rakyat Gaza terkorban

SEORANG lelaki Palestin mendukung mayat bayi lelaki yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu di sebuah sekolah di kawasan Tuffah, Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 420 nyawa rakyat Palestin walaupun gencatan senjata dimeterai, menjadikan keseluruhan korban genosid meningkat kepada 71,386 orang.

Kedutaan Palestin berkata, situasi itu berlaku ketika Gaza dilanda cuaca musim sejuk ekstrem yang memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya 18 bangunan kediaman yang sebelum ini rosak akibat bedilan Israel dilaporkan runtuh sepenuhnya susulan hujan lebat dan ribut kuat.

“Hampir 90 peratus khemah pelarian musnah atau dinaiki air, menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat perlindungan dan terdedah kepada risiko kesihatan serta keselamatan yang serius.

“Penduduk yang terpaksa berlindung di khemah sementara kini berdepan penderitaan berganda apabila hujan lebat, angin kencang dan ribut kuat terus melanda, sekali gus memburukkan keadaan hidup rakyat Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan termasuk tembakan dan bedilan di beberapa kawasan di Gaza, mengorbankan orang awam termasuk seorang kanak-kanak serta seorang nelayan di perairan Khan Younis, selain mencederakan ramai yang lain.

Keadaan semakin kritikal apabila Israel didakwa menyekat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) daripada menyalurkan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Gaza.

“Israel dilaporkan membatalkan lesen operasi 37 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, yang disifatkan sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa kerana menghalang bantuan kesihatan, air bersih, perlindungan dan kebajikan asas.

“Manakala di Tebing Barat pula, peneroka haram Israel dengan sokongan tentera dilaporkan mula mengusir keluarga Palestin dari kawasan ‘Area B’, walaupun wilayah tersebut berada di bawah pentadbiran Palestin.

“Perkembangan ini mencetuskan kebimbangan serius terhadap perluasan dasar pengusiran paksa yang semakin agresif,” katanya.

Dalam pada itu, laporan turut mendedahkan sekurang-kurangnya 32 tahanan Palestin dilaporkan meninggal dunia sepanjang tahun 2025 akibat penyeksaan, kebuluran, penafian rawatan perubatan serta penahanan tanpa bicara yang disifatkan sebagai jenayah perang.

Sekatan berterusan dan kemusnahan infrastruktur turut melumpuhkan ekonomi digital Gaza apabila lebih 80 peratus rangkaian internet terjejas, sekali gus menyebabkan golongan muda serta pekerja bebas kehilangan sumber pendapatan.

Walaupun berdepan krisis kewangan serius susulan penahanan hasil cukai oleh Israel, kerajaan Palestin menegaskan komitmen untuk meneruskan perkhidmatan asas termasuk pembinaan sekolah, pembaikan infrastruktur dan penyaluran bantuan kecemasan.

Kerajaan Palestin turut melancarkan kempen #RightToShelterGaza bagi mendesak komuniti antarabangsa membenarkan kemasukan rumah pasang siap untuk melindungi rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal pada musim sejuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN