KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis teater, Sabri Yunus, menegaskan bahawa sebarang karya seni yang dipersembahkan, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam, perlu berpandukan syariat serta batas agama.
Menurut Sabri atau nama penuhnya Muhammad Sabri Yunus, 65, dia pernah menyaksikan pementasan karya yang kini menjadi polemik itu sebelum ini, namun mendakwa tiada elemen keterlaluan seperti yang diperkatakan.
“Jika tidak silap, saya pernah menonton pementasan itu di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). Sudah banyak kali dipentaskan, tetapi ketika saya menonton, tidak wujud babak sedemikian.
“Dalam konteks kita sebagai orang Islam, apa jua bentuk seni perlu bersandarkan hukum-hakam agama.
“Walaupun seni sering dianggap bebas, namun dalam Islam, kebebasan itu tetap ada batasnya,” katanya.
Sabri berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Libang Libu di ibu negara, semalam.
Mengulas lanjut, Sabri turut membandingkan pendekatan seni Barat dengan perspektif Islam yang menurutnya berbeza dari segi sensitiviti serta nilai masyarakat.
“Di Barat, pelajar seni boleh melukis model bogel tanpa sebarang rasa, atas dasar seni semata-mata. Mereka mampu melakukannya tanpa rangsangan, dan hasilnya dianggap indah.
“Namun bagi kita, walaupun atas nama seni, batas tetap ada. Sama ada dalam lukisan, teater atau apa sahaja bentuk karya, kesedaran terhadap garis panduan agama itu penting,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sabri berpendapat pendekatan mendidik lebih wajar diambil berbanding menghukum pihak yang terlibat, khususnya pelajar universiti.
“Mereka masih dalam proses pembelajaran. Justeru, pendekatan terbaik adalah mendidik dengan ilmu, bukan menghukum secara keras.
“Hukuman boleh melemahkan semangat mereka untuk berkarya. Apa yang lebih penting ialah kesedaran agar perkara sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu persembahan teater oleh sebuah universiti tempatan yang memaparkan babak intim di atas katil sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.










