CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua murid perlu dididik untuk menjaga kebersihan termasuk membersihkan tandas di sekolah.
Perdana Menteri berkata, amalan itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia boleh dilakukan oleh murid tanpa perlu mengira latar belakang keluarga dan kelas dalam masyarakat.
“Tapi saya faham ada juga segelintir ibu bapa yang membantah perkara itu di media sosial. Jadi saya nak bagi nasihat lah, semua anak-anak kita ini tanpa kecuali, bukan golongan bangsawan semua.
“Semua kita dalam tanggungjawab, tandas kita guna dan kita perlu bersihkan ya,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau menyifatkan tugas itu bukan sesuatu yang rumit untuk dilakukan dan mahu semua ibu bapa memberi kerjasama sekali gus melatih anak-anak dalam menilai semua tugas dan kerja.
Mengulas lanjut, katanya, tugas membersihkan tandas sebenarnya bukan kerja hakiki tukang cuci.
“Jangan dianggap itu kerja tukang cuci, tukang bersihkan, jadi (seolah-olah) dia macam mengesahkan ada kelas dalam masyarakat,” katanya.
Anwar sebelum ini mengarahkan semua sekolah menyediakan jadual mencuci tandas melibatkan pelajar sekolah dalam memastikan kebersihan tandas sekolah di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, jadual itu perlu dimulakan secepat mungkin melibatkan semua pelajar sekolah bagi memastikan kebersihan tandas dan melatih mereka dalam membentuk jati diri mereka.
Bagaimanapun, arahan itu tidak mendapat respon yang baik dalam kalangan segelintir ibu bapa yang menyifatkan ia menyusahkan anak-anak dan ada berpandangan murid ke sekolah untuk belajar bukan mencuci tandas. – UTUSAN










