MUKADIMAH
CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), RAZAILI GAPOR semalam serius mendengar setiap soalan diajukan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN berhubung cita-cita besar Pas mahu menakluki DUN berkenaan.
Berikut jawapan Razaili, 65, penyandang kerusi dua penggal sejak 2011 terhadap penjelasan kepemimpinan Pas yang percaya hubungan dengan GPS di peringkat Persekutuan tidak terjejas kerana isu bertanding kerusi hak mana-mana parti.
UTUSAN: Pas isytihar Beting Maro sasaran utamanya?
RAZAILI: GPS-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah membela DUN ini sejak sekian lama. Pas sejak dulu lagi berhabis-habisan cuba menawannya tetapi belum berjaya. Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) dihantar ke sini pun sebenarnya untuk tujuan politik, bukan atas kapasiti sebagai menteri di peringkat Persekutuan. Ini sangat tidak sihat dan amat dikesali.
Jadi, GPS rasa dikhianati Perikatan Nasional (PN)-Pas?
Kami akui PN-Pas sebagai kawan tetapi mereka sanggup tikam dan khianati kami. Kerjasama diberikan selama ini tidak dihargai pemimpin-pemimpin Pas sedangkan parti-parti lain seperti Barisan Nasional (BN) sendiri menghormati GPS dengan tidak menghantar calon.
Perkembangan syiar Islam di Beting Maro setakat ini?
GPS-PBB bukan setakat pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi, bahkan agama pun kita jaga. Kami sedang membangunkan semua pusat ibadat termasuk lima masjid baharu dalam proses pembesaran. Agama tetap menjadi keutamaan dengan 98 peratus pengundi di sini ialah Melayu Islam. Jangan kata PBB tidak menjaganya.
Kenapa pengundi perlu tolak Pas?
Pas belum lagi keputusan pilihan raya diumumkan, sudah tahu nak kalah, terus cabut lari. Bila tiba pilihan raya, baru tunjukkan muka semula. Lebih-lebih lagi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada bantuan dihulurkan oleh Pas, hanya GPS berbuat demikian.
Pas mendakwa, ‘menang di Beting Maro, menang Pas satu Sarawak’. Komen?
Pas jangan diperjudi oleh angan-angan dan janji melangit. Kita tidak perlukan Pas di sini kerana PBB sudah menjadi tunjang kerajaan negeri. Kita ada kemampuan yang tinggi untuk membela nasib kita di sini, bukan orang luar Sarawak. Apa yang mereka boleh janjikan untuk rakyat di sini? Tiada rekod pun. GPS lebih terbukti menjaga rakyat. UTUSAN ONLINE










