Tidak bercadang tubuh agensi bumiputera baharu, perkukuh institusi sedia ada - PM

Tidak bercadang tubuh agensi bumiputera baharu, perkukuh institusi sedia ada – PM

ANWAR Ibrahim melawat reruai pameran selepas Majlis Perasmian SParK 2026 : Transformasi Niaga di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak cenderung untuk menubuhkan agensi bumiputera baharu, sebaliknya akan memberi tumpuan memperkasa institusi sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dengan memastikan semua kementerian dan agensi kerajaan bersama-sama memikul tanggungjawab melaksanakan agenda pembangunan bumiputera sebagai agenda nasional.

Katanya, pendekatan itu lebih berkesan berbanding mewujudkan lebih banyak institusi kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh penyelarasan serta meningkatkan keberkesanan agensi yang telah diwujudkan.

“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi bumiputera baharu tapi saya cenderung memastikan agensi ini diperkasa. Agensi lain, jabatan dan kementerian lain semuanya itu mesti ada agenda bumiputera.

“Walaupun Kementerian Digital, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu dipimpin oleh bukan bumiputera, menterinya, tetapi mereka juga punyai tanggungjawab melaporkan tiap acara baharu untuk memperkasa syarikat bumiputera.

“Dengan pendekatan ini melalui kerjasama pimpinan penjawat awam dan pengurusan jentera GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan agensi kerajaan akan memastikan pertumbuhan yang lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di sini hari ini.

SParK 2026 adalah platform utama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam memperkukuh ekosistem usahawan bumiputera yang lebih berdaya saing, mampan dan bersedia untuk berkembang ke tahap lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tanggapan bahawa agenda pembangunan bumiputera hanya perlu dipikul oleh agensi khusus seperti PUNB, Majlis Amarah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional adalah tidak lagi sesuai kerana semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing.

“Tetapi semua agensi kerajaan ini bertanggungjawab untuk memenuhi dasar negara dan dasar negara itu tentunya memacu pertubuhan ekonomi tapi menjamin pengagihan yang adil dan saksama,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi perlu memastikan dasar yang digubal bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negara, malah turut menjamin pengagihan peluang secara adil termasuk kepada bumiputera.

Pada masa sama, Anwar menegaskan setiap agensi bumiputera perlu bergerak secara bersepadu dan saling melengkapi, bukannya beroperasi secara berasingan.

“Saya akui pelaksanaan program PUNB yang baik, tetapi saya katakan jangan bergerak tanpa keseragaman dengan agensi-agensi lain. Apa yang dilaksanakan di Mara umpamanya, kalau lemah kita perkukuh, kalau betul-betul tidak berupaya, kita ambil alih.

“Begitu juga Tekun atau Amanah Ikhtiar (AIM) dan lain-lain. Maka kita boleh fokus betul-betul membina dan membangunkan, bumiputera yang mempunyai keupayaan dan kewibawaan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN