PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Ahmad Redzuan-Low Zi Yu mencerahkan peluang untuk membawa pulang pingat emas, selepas mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJC) di Yatsushiro, Jepun, hari ini.
Ahmad Redzuan-Zi Yu menewaskan Sheng Ming Lin-Liang Ching Sun dari Taiwan 21-16, 23-25, 21-10 dalam masa 53 minit pada separuh akhir.
Pilihan kedua itu bakal berdepan beregu China, Zheng Wei Gang-Li Meng Han dalam aksi final, esok.
Kali terakhir wakil Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei pada 2007.
Ahmad Redzuan-Zi Yu juga merupakan wakil tunggal Malaysia yang berjaya menjejakkan kaki ke final selepas beregu perempuan terkandas di separuh akhir.
Zi Yu yang bermain dalam dua acara dan berpasangan dengan Genevie Lim untuk beregu perempuan akur kepada pasangan Jepun, Aoi Banno-Yuzu Ueno 21-16, 17-21, 17-21 dalam masa 1 jam 18 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Genevie-Zi Yu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Walaupun kecewa, sekurang-kurangnya Genevie-Zi Yu memperbaiki pencapaian wakil Malaysia pada edisi lalu yang disekat kemaraan pada suku akhir.
Malah, pencapaian pada tahun ini jauh lebih baik berbanding edisi 2025 kerana Malaysia mempunyai wakil pada perlawanan akhir dan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.
Pingat gangsa sudahpun berada dalam gengganan, cuma, esok, terpulang kepada Ahmad Redzuan-Zi Yu untuk memilih warna kilauan pingat sama ada perak ataupun emas. – UTUSAN










