Orang Islam tidak boleh dinamakan sebagai ‘orang ketiga' dalam pertikaian perkahwinan - Utusan Malaysia

Orang Islam tidak boleh dinamakan sebagai ‘orang ketiga’ dalam pertikaian perkahwinan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan seorang individu Muslim tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan pasangan bukan Islam sekali gus tidak boleh dituntut untuk membayar ganti rugi.

Dalam keputusan 2-1 panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man menyatakan, ini kerana Seksyen 3(3) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) jelas menyatakan undang-undang tersebut tidak tertakluk pada mereka yang beragama Islam.

Sebaliknya, Hakim Tengku Maimun menyatakan, mereka yang bukan beragama Islam boleh merujuk jenayah khalwat yang dilakukan oleh mereka yang beragama Islam mengikut undang-undang syariah kerana undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman yang sewajarnya bagi kesalahan itu berbanding undang-undang sivil.

Mahkamah memutuskan demikian berhubung rayuan seorang wanita warga Britain yang dinamakan sebagai AJS yang memohon untuk menamakan seorang wanita Muslim, JMH sebagai pihak dalam petisyen perpisahan kehakiman (judicial separation) terhadap suaminya, warga Australia, RIS.

AJS memohon untuk menamakan JMH yang didakwa telah menjalinkan hubungan dengan RIS sehingga menyebabkan perkahwinan mereka pincang sekali gus menuntut agar wanita Muslim itu membayar ganti rugi atas keruntuhan rumahtangganya.

Turut bersetuju dengan penghakiman tersebut ialah Hakim Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh manakala Hakim Nalini Pathmanathan menentang keputusan itu.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, AJS diwakili peguam Ravi Neeko manakala Kiran Dhaliwal bertindak bagi pihak JMH.

Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Tengku Maimun menyatakan ayat ‘Akta ini tidak tertakluk kepada Muslim’ dalam LRA telah mengecualikan umat Islam secara keseluruhannya.

“Satu-satunya pengecualian yang terdapat dalam LRA ialah yang boleh diguna pakai terhadap Muslim ialah apabila salah seorang pasangan bukan Islam telah memeluk agama Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 51 LRA.

“Seksyen 51 LRA diwujudkan bagi memastikan semua liabiliti dan tanggungjawab pada pasangan yang berkahwin mengikut undang-undang sivil masih terpakai walaupun salah seorang pasangan itu telah memeluk Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun menyatakan, ia tidak bermakna mereka yang bukan Islam tidak boleh mendapat remedi yang sepatutnya sekiranya kecurangan membabitkan orang Islam.

“Dalam hal ini, walaupun seseorang yang bukan beragama Islam didapati bersalah melakukan khalwat, mahkamah sivil tidak mempunyai hukuman yang setimpal untuk individu berkenaan berbanding orang Islam yang melakukan perkara sama boleh dihukum mengikut undang-undang syariah,”katanya.

Sementara itu, dalam penghakiman menentang, Hakim Nallini menyatakan, Seksyen 3(3) LRA tidak menghalang seorang Muslim daripada dinamakan sebagai salah satu pihak dalam pertikaikan perkahwinan bukan Islam.

Jelasnya, mahkamah diberi kuasa mengikut Seksyen 17(a) Akta Tafsiran untuk melihat kepada niat dan tujuan perundangan apabila mentafsir peruntukan seperti yang terdapat dalam LRA.

Katanya, hasrat dan tujuan LRA, pada keseluruhannya, tidak terpakai kepada perkahwinan antara orang Islam, sebaliknya perkahwinan bukan Islam.

“Frasa ‘tidak tertakluk kepada orang Islam’ perlu ditafsir dalam konteks tujuan dan objektif LRA, iaitu penguatkuasaan perkahwinan monogami dan penyediaan rangka kerja undang-undang bagi perkahwinan dan pembubaran perkahwinan orang bukan Islam.

“Ia semestinya termasuk memasukkan pihak ketiga dalam petisyen perpisahan kehakiman, yang secara asasnya membabitkan undang-undang prosedur, di mana pihak ketiga hanya sampingan kepada perkara utama yang dipertikaikan, iaitu pembubaran perkahwinan antara pasangan bukan Islam,” kata Hakim Nallini.

Oleh itu, tindakan menamakan pihak ketiga dalam petisyen itu tidak melanggar Seksyen 3(3) LRA, tambah hakim berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya