‘PKR bukan boneka DAP’ - Utusan Malaysia

‘PKR bukan boneka DAP’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TINDAKAN dua figura, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang memilih keluar parti mungkin menggegarkan PKR, namun Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM memberi bayangan jelas yang parti itu belum retak, jauh sekali tumbang.

Di sebalik pelbagai dakwaan kononnya PKR semakin lemah, menjadi ‘boneka’ DAP dan hilang arah selepas kehilangan beberapa tokoh utama, sayap muda parti itu tampil mempertahankan naratif berbeza yang PKR sudah terlalu lama ‘divaksin’ dengan krisis politik untuk mudah rebah.

Dalam temu bual bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR yang turut disertai jurufoto, FAISOL MUSTAFA dan juruvideo ERNI NADIA, beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri menegaskan, parti itu tidak pernah berkompromi dalam soal kedudukan Melayu, bumiputera, agama Islam, bahasa Melayu dan institusi raja-raja yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dakwaan kononnya PKR tunduk kepada DAP disifatkan sekadar propaganda politik lama yang sengaja dimainkan untuk membina persepsi dan meniup sentimen perkauman.

MINGGUAN MALAYSIA: Selepas Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan, sebagai Ketua AMK, adakah tindakan dua pemimpin yang sebelum ini cukup berpengaruh memberi kesan kepada parti?
MUHAMMAD KAMIL: Kalau kata langsung tidak memberi kesan, tidaklah kerana mereka mempunyai pengikut dan penyokong sendiri. Namun, di peringkat AMK, kami tetap menjalankan fungsi dan tugas seperti biasa dengan terus memperkukuh organisasi di akar umbi.

Ketika ini, AMK bergerak aktif di lapangan melalui pelbagai program, latihan dan kempen kesedaran khususnya dalam kalangan anak muda.

Berhubung peletakan jawatan mereka, tak apalah, mereka sudah buat keputusan. Kita hormat keputusan mereka. Kedua-dua mereka juga mempunyai jasa dan semangat besar dalam membina parti ini. Kami merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih.

MUSUH DALAM SELIMUT
Tidak risau penyokong mereka masih ada dalam parti? Tidakkah mereka seperti ‘musuh dalam selimut’?
Dalam PKR, kita sudah beberapa kali melalui krisis seperti ini. Yang paling besar dan paling dekat tentunya ‘Langkah Sheraton’ apabila kita menyaksikan ramai ahli Parlimen dan pimpinan membuat keputusan meninggalkan parti. Pada waktu itu juga, ramai melihat keadaan tersebut sebagai tanda keretakan dan perpecahan yang akan melemahkan PKR.

Namun, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita berjaya membentuk kerajaan. Ini menunjukkan rakyat menilai bukan sekadar berdasarkan sentimen semata-mata tetapi juga agenda yang diperjuangkan serta apa yang kita bawa demi kebaikan seluruh rakyat.

Alhamdulillah, sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri, kita dapat melihat pelbagai inisiatif baharu yang dilaksanakan untuk membantu rakyat dan memperkukuh negara.

Justeru, fokus kita perlu terus terarah kepada usaha menyelamatkan ekonomi negara dan membantu rakyat. Kita tidak seharusnya teralih perhatian dengan tindakan-tindakan seperti ini, apatah lagi ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran dan krisis di peringkat global.

Sebab itu, kita perlu terus memperkukuh saf kepimpinan, meletakkan keutamaan kepada usaha memulihkan ekonomi negara serta memastikan perhatian rakyat tidak terganggu dengan tindakan segelintir ahli politik yang cuba mengalih fokus daripada isu dan permasalahan sebenar rakyat.

PKR ROSAK HANYA PROPAGANDA
Komen tentang kenyataan Rafizi yang mengatakan PKR rosak?
Itu hanya tanggapan mereka dan mungkin lahir daripada rasa marah atau tidak puas hati. Namun, kerajaan tetap meneruskan tugas seperti biasa dan akhirnya rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, bukan tohmahan atau retorik politik semata-mata.

Penilaian perlu dibuat berdasarkan fakta dan angka, bukannya propaganda atau sentimen perkauman dan agama yang sengaja dimainkan untuk mengalih perhatian rakyat daripada pencapaian sebenar kerajaan.

Hakikatnya, ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif. Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi antara tertinggi di rantau ini, kadar pengangguran terendah dalam tempoh 10 tahun, pelaburan tertinggi dalam sejarah serta pengukuhan nilai ringgit yang kini antara terbaik di Asia. Malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat ketika ekonomi global dijangka perlahan.

Dalam masa sama, pelbagai bantuan dan inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah, program Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi RON95, bantuan awal persekolahan, Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani terus dilaksanakan untuk membantu rakyat.

Namun, banyak usaha ini tenggelam kerana ada pihak lebih gemar memainkan isu 3R (raja, agama dan bangsa) dan sentimen kebencian kaum serta agama demi kepentingan politik. Sedangkan kerajaan tidak pernah berkompromi dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu, bumiputera, agama Islam, bahasa Melayu dan institusi raja-raja seperti yang dijamin Perlembagaan.

Pada masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kekuatan negara tidak boleh dibina melalui slogan atau retorik semata-mata, tetapi melalui usaha meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat secara adil dan menyeluruh.

PH DERHAKA

Pandangan apabila PH kini dianggap derhaka kepada institusi diraja?
Kita kena faham apabila bercakap soal Perlembagaan, sudah jelas dan setiap warganegara bertanggungjawab mempertahankannya. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Dalam erti kata lain, semua rakyat tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang yang digubal di bawah kerangka tersebut. Itulah asas kepada sistem pemerintahan negara kita.

Dalam masa sama, kita juga perlu sedar institusi Raja-raja Melayu merupakan tonggak penting dalam pembinaan negara. Institusi ini mempunyai fungsi, peranan dan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan institusi raja dalam sistem negara juga dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan dan perkara ini tidak boleh dipertikaikan atau dikompromi oleh mana-mana pihak.

Namun, beberapa pandangan yang dikemukakan perlu dilihat mengikut konteks dan keadaan semasa. Pertimbangan dalam sesuatu isu bukan berkaitan soal hak semata-mata tetapi juga perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat, keadaan semasa dan tuntutan tertentu dalam sesebuah masyarakat.

Saya tidak menafikan ada pandangan atau kenyataan tertentu yang kadang-kadang menyinggung sesetengah pihak. Sebab itu, individu yang mengeluarkan kenyataan juga perlu memahami sensitiviti masyarakat serta realiti sosial di sesuatu tempat apabila membincangkan isu-isu tertentu.

Kalau kita peka terhadap keadaan sekeliling dan menggunakan hikmah dalam membuat pertimbangan, kita akan lebih memahami batas serta perkara-perkara yang perlu ditangani dengan berhati-hati.

Sebab itu, keadilan bukan bermaksud semua perkara mesti sama rata secara mutlak. Keadilan adalah kesaksamaan yang menuntut kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan berdasarkan keadaan dan keperluan tertentu.

TUNDUK PADA DAP
Dalam isu di Selangor, ada yang melihat PKR seperti ‘boneka’ DAP kerana mengikut sahaja cara parti itu?

Itu sebenarnya persepsi dan naratif yang sengaja dimainkan sejak dahulu lagi, kononnya kita tunduk kepada desakan DAP. Desakan yang mana satu? Apa yang kita tunduk? Sebutkan secara jelas.

Banyak isu yang dibangkitkan hari ini sudah diperkatakan sejak puluhan tahun lalu oleh pelbagai pemimpin tetapi tiada siapa yang benar-benar berani melaksanakan perubahan. Contohnya, isu penyasaran subsidi.

Sejak zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, kemudian zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua bercakap subsidi pukal tidak boleh diteruskan. Namun, tiada siapa yang benar-benar berani melakukan reformasi itu.

Hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah tersebut walaupun sedar ia bukan keputusan popular. Namun, itu langkah yang bertanggungjawab demi menyelamatkan ekonomi negara.

Sebab itulah Malaysia hari ini berada dalam keadaan lebih baik berbanding beberapa negara jiran. Kita lihat Thailand, Indonesia, Filipina malah Australia berdepan tekanan bekalan dan kenaikan harga minyak yang jauh lebih tinggi. Ada stesen minyak ditutup dan ada negara mengisytiharkan darurat bekalan minyak.

Sebaliknya di Malaysia, walaupun berlaku sedikit penyesuaian, harga bahan api masih mampu dikawal dan bekalan kekal stabil. Semua ini hasil langkah penstrukturan semula subsidi, penjimatan perbelanjaan, penguatkuasaan terhadap rasuah dan ketirisan serta pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin sejak tiga tahun lalu. Disebabkan itu, apabila krisis global berlaku, kedudukan kewangan negara lebih bersedia untuk bertahan.

Isu polemik Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pelbagai pihak mendakwa kerajaan tunduk kepada tekanan DAP?

Isu ini sudah dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu. Semua parti pernah bercakap mengenainya ketika pilihan raya. Namun apabila kerajaan hari ini membuka sedikit ruang dengan syarat tetap tertakluk kepada Dasar Pendidikan Negara seperti keperluan lulus bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terus timbul tuduhan kononnya kerajaan tunduk kepada DAP.

Hakikatnya, pengiktirafan tertentu terhadap UEC sudah berlaku lebih awal ketika Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO berada dalam kerajaan. Malah institusi tertentu sebelum ini juga menerima UEC sebagai syarat kemasukan. Jadi jelas wujud hipokrasi politik apabila isu yang pernah dilaksanakan sebelum ini tiba-tiba dijadikan bahan serangan politik apabila kerajaan hari ini cuba menyelesaikannya secara lebih tersusun.

Sebab itu saya katakan ada pihak sengaja memainkan sentimen kaum dan kebencian demi meraih sokongan politik. Mereka memanipulasi isu untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada fakta sebenar.

KERUSI BERISIKO
Kajian dalaman PKR menyenaraikan beberapa kerusi sebagai berisiko. Adakah ini akan menjejaskan momentum parti, dan sejauh mana PKR bersedia menghadapinya?

Kajian itu sebenarnya berasaskan angka dan keputusan PRU15. Kalau diteliti dengan betul, ia merujuk prestasi ketika itu tetapi kita tidak boleh melihatnya secara permukaan sahaja.

Ada kerusi yang dikategorikan sebagai ‘berisiko’ atau marginal. Walaupun kita menang di kerusi tersebut, kita perlu realistik dan objektif kerana kemenangan itu mungkin dengan majoriti yang kecil. Jadi, bukan semua kemenangan boleh dianggap selamat sepenuhnya.

Dalam politik, kita tidak boleh hanya menonjolkan gambaran yang indah. Kita perlu jujur dengan data dan realiti di lapangan. Kerusi yang majoritinya besar kita anggap sebagai kerusi selamat, manakala kerusi dengan majoriti kecil perlu diberi perhatian khusus.

Pendekatan kita ialah menyusun semula kekuatan jentera, memperkukuh organisasi dan memastikan kita dapat mempertahankan kerusi sedia ada serta menambah kerusi baharu.

Dalam politik, akhirnya ia adalah soal angka. Jika kita mahu membentuk kerajaan yang lebih kukuh selepas ini, kita perlu memenangi lebih banyak kerusi daripada yang kita ada sekarang.

Bagaimana masa depan kerjasama PH-BN selepas ini, boleh lagi diteruskan?
Realitinya, dinamika politik ini sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Namun sikap kita jelas, iaitu berusaha sedaya upaya memastikan wujud kerjasama yang baik dalam kalangan PH dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ini penting kerana keutamaan kita ialah kestabilan politik yang membawa kestabilan ekonomi.

Tanpa kestabilan politik dan ekonomi, rakyat akhirnya menjadi mangsa kerana dasar tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan masalah tidak dapat diselesaikan akibat ahli politik sibuk dengan pertembungan politik.

Sebab itu, sepanjang 33 tahun pengalaman, kita mengambil pendekatan yang lebih lunak dalam menangani perbezaan pandangan. Kita menerima nasihat dan dalam beberapa keadaan kita merasakan ada tindakan yang agak keterlaluan sehingga kadang-kadang terpaksa mengeluarkan kenyataan lebih tegas apabila sesuatu perkara itu sudah melampaui apa yang saya sebut sebagai ‘garis merah’.

Garis merah ini adalah apabila sesuatu isu dimanipulasi, contohnya dengan bermain sentimen perkauman, sedangkan ada banyak insiden lain yang dilihat secara tidak adil berdasarkan perspektif kaum.

Dalam kes seperti ini, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan. Jika ada elemen jenayah, ia perlu dibuktikan melalui tindakan dan niat, bukan sekadar persepsi atau andaian politik.

Kita mahu kekalkan kestabilan. PH sebagai sebahagian daripada gabungan terbesar dalam kerajaan menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan baik. Namun jika masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mengganggu kestabilan, termasuk usaha politik untuk ‘menebuk kapal’ ketika negara berdepan krisis, kita bersedia untuk berdepan secara terbuka.

Dalam konvensyen terakhir, kita nyatakan dengan jelas, kalau mahu berkawan, kita berkawan tetapi kalau mahu berlawan, kita tiada masalah untuk berdepan secara terbuka.

Akhirnya, rakyat akan menilai siapa yang benar-benar memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan siapa yang lebih sibuk mengatur strategi politik untuk menggugat kestabilan demi kepentingan sendiri. Biarlah rakyat membuat penilaian yang adil berdasarkan fakta.

AMK TIDAK MENONJOL TARIK ORANG MUDA
Jika dilihat AMK tidak menonjol sebagaimana Pemuda UMNO dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY). Bahkan, lapan pemimpin mahasiswa juga meninggalkan parti. Bagaimana AMK mahu mengekalkan dan menarik sokongan muda?
Setiap bulan kita mengadakan mesyuarat kepimpinan dan dapati masih ramai anak muda yang terus menyertai dan bersama PKR.

Jadi, saya tidak melihat tindakan beberapa individu ini sebagai sesuatu yang besar, kerana kebanyakannya hanyalah ‘stunt’ politik yang dirancang untuk membina persepsi dan momentum. Itu lumrah dalam politik.

Bagi saya, jumlah yang keluar itu sangat kecil, mungkin hanya dua orang sahaja. Namun ada pihak yang cuba memperbesarkan sehingga dikatakan lapan orang, 50 orang dan sebagainya. Ini semua adalah usaha untuk mencipta soundbyte dan membentuk persepsi politik.

Malaysia adalah negara demokrasi dan setiap individu bebas untuk membuat pilihan politik masing-masing. Itu hak mereka.

Namun di peringkat AMK, kita akan terus mendekati golongan muda, membantu dan membimbing mereka dalam kapasiti sebagai sayap pemuda kepada parti pemerintah. Kita juga akan terus meyakinkan anak muda untuk kekal memberi sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

MEMBELAKANGI INSTITUSI RAJA
Bagaimana pula dengan tuduhan bahawa kerajaan hari ini membelakangkan institusi raja?
Kalau mahu bercakap soal membelakangkan institusi diraja, rakyat masih ingat bagaimana ketika pentadbiran Muhyiddin, kerajaan pada waktu itu menarik Ordinan Darurat tanpa terlebih dahulu merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga pihak istana sendiri menzahirkan rasa dukacita.

Jangan kita memutar belitkan isu semata-mata untuk menimbulkan persepsi kerajaan hari ini tidak menghormati institusi diraja atau tunduk kepada mana-mana pihak. Kita perlu berlaku adil dan melihat sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan realiti sebenar, bukannya sentimen politik semata-mata.

Wajar untuk PKR menasihati DAP sebagai rakan gabungan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian atau kemurkaan institusi diraja?

Pendirian AMK jelas dan tidak berubah. Kita tidak apologetik dalam hal ini. Kita akan terus mempertahankan kedudukan institusi raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN