PARIS: Pengendali Perancis, Didier Deschamps memberi amaran awal supaya pemainnya tidak terlalu yakin meskipun dilabel antara pasukan pilihan untuk muncul juara Piala Dunia 2026.
Finalis dua edisi terakhir itu hadir ke Amerika Utara dengan reputasi besar selepas menjulang trofi dunia pada 2018 sebelum tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti pada final 2022 di Qatar.
Kehadiran kapten sensasi, Kylian Mbappe turut menjadikan Perancis terus dilihat sebagai pencabar utama untuk merampas kembali gelaran dunia mereka.
Bagaimanapun, Deschamps menegaskan perjalanan menuju final bukan sesuatu yang mudah dan pasukannya masih perlu melepasi beberapa halangan besar sebelum boleh bercakap mengenai kejuaraan.
“Ada orang fikir kami sudah berada di final pada 19 Julai nanti tetapi saya memang tidak suka dengan andaian seperti itu.
“Ya, kami antara pasukan terbaik dunia tetapi masih banyak langkah penting perlu ditempuhi sebelum memikirkan soal menjulang trofi,” katanya.
Deschamps yang bakal meninggalkan skuad Perancis selepas 14 tahun mengendalikan pasukan itu turut mengingatkan pemainnya mengenai mimpi ngeri 2002 apabila juara bertahan tersebut tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas kepada Senegal.
“Kami akan lakukan segala-galanya untuk sampai ke tahap tertinggi itu tetapi kami juga tahu semua perkara perlu dibuktikan di atas padang,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










