NGO bergabung wujudkan wakaf SSU untuk pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

NGO bergabung wujudkan wakaf SSU untuk pesakit Covid-19

IDRIS Ahmad (dua dari kanan) ketika hadir pada majlis perasmian Wakaf Short Stay Unit (SSU) di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKB, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Sebanyak lima buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung mewujudkan sebuah wad penempatan sementara yang dikenali sebagai Wakaf Short Stay Unit (SSU) di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini. 

Kelima-lima NGO itu ialah Muslim Care Malaysia (MCM); Khidmat Malaysia; Pertubuhan Amal Perubatan Islam Ibnu Sina (Papisma); Yayasan Amal Malaysia cawangan Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang. 

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan yang mewakili NGO itu berkata, ini kali  pertama perkhidmatan seperti itu diwujudkan dalam bentuk wakaf. 

“Kami berterima kasih kepada HKB kerana menyediakan satu kawasan khas untuk tujuan itu. 

“Insya-Allah, kita akan kembangkan projek seperti ini di lokasi-lokasi lain selepas ini,” katanya pada majlis perasmian projek tersebut yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. 

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nur Aslina Bahakodin. 

Menelan belanja sehingga RM100,000 iaitu dana hasil sumbangan orang ramai untuk kelima-lima NGO terbabit, kerja-kerja pembinaan wakaf SSU siap dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu sejak projek itu dimulakan 1 September lalu. 

Selain dilengkapi pelbagai kemudahan seperti wad biasa iaitu katil dan pendingin hawa, SSU yang mengandungi 14 buah katil itu juga lengkap dengan pelbagai fasiliti perubatan sementara menunggu pesakit dimasukkan ke wad Covid-19. 

Dalam pada itu Idris berkata, SSU yang telah siap itu akan dimanfaatkan sebaiknya oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma untuk menguruskan pesakit-pesakit Covid-19 ketika ini. 

“Projek kebajikan seperti ini sangat diberikan perhatian dan disokong oleh kerajaan kerana turut menepati konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN