Najib berniat jahat fail permohonan 'last minute' - Utusan Malaysia

Najib berniat jahat fail permohonan ‘last minute’

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya adalah satu permohonan yang dibuat dengan niat jahat (mala fide).

Ini kerana dakwaan mengenai hubungan di antara bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low telah dilaporkan media sejak Oktober 2020 dan Najib sendiri telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai perkara itu sejak Disember 2020.

Peguam Najib juga telah menerima jawapan daripada sebuah firma guaman berkaitan akuan bersumpah yang dibuat oleh suami dan anak-anak Zeti yang menafikan penglibatan Zeti dalam syarikat Cutting-Edge Industries Ltd. (CEIL).

“Tan Sri Zeti telah ditawarkan kepada pemohon (Najib) di akhir kes pendakwaan sebagai saksi pembelaan. Namun, pemohon memilih untuk tidak memanggil Tan Sri Zeti untuk memberi keterangan atau ditemuduga sebagai saksi bagi menbuktikan kes pembelaan.

“Pemohon boleh memfailkan permohonan ini seawal Januari lalu sebelum pendengaran rayuan pada 5 April lalu (bagaimanapun) pemohon mengambil masa 11 bulan dan beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadual untuk membuat keputusan terhadap rayuan pemohon,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed.

Selain itu, timbalan pendakwa raya terbabit menyatakan keterangan yang dikatakan bukti baharu dan penting itu bukanlah relevan dan diperlukan bagi mencapai keputusan yang adil tetapi sekadar usaha untuk melengahkan keputusan rayuan yang dijadualkan esok (8 Disember).

Pendakwaan berkata demikian dalam afidavit jawapan terhadap permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang akan didengar hari ini.

Budiman menyatakan, Najib gagal menunjukkan secara pasti bahawa Zeti mempunyai “a long-standing relationship” (hubungan sejak sekian lama) dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho. 

Pendakwaan memberitahu, Najib juga tidak dapat membuktikan bahawa Zeti bekerjasama dengan Jho Low untuk memudahkan prnyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International dilakukan. 

Katanya, semua itu hanya satu andaian Najib yang berasaskan maklumat dengar cakap (hearsay) yang diperoleh daripada penerbitan dalam talian. 

Pihak pendakwaan dalam afidavit berkenaan turut menjelaskan, keterangan baharu yang dimohon oleh Najib tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya.

“Pemohon sebenarnya menghujahkan semula rayuannya di dalam afidavit sokongan permohonan itu dan pendakwaan menyatakan keterangan itu tidak mempunyai kaitan dengan jenayah yang dilakukannya.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa pemohon mengetahui wang RM42juta dimasukkan ke dalam akaunnya adalah dari SRC International dan bukannya daripada 1MDB,” kata Budiman Lutfi.

Selain penglibatan Zeti dan Jho Low, Najib turut memohon agar Mahkamah Rayuan memasukkan keterangan viva voce (lisan) bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib merayu  keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya