Kecewa mentua amal pilih kasih

Kecewa mentua amal pilih kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:

Mentua pilih kasih. Anak menantu disukai, ditatang bagai minyak yang penuh. Yang kurang disenangi, dilayan acuh tak acuh. Saya ingin berdamai dengan takdir, tapi kadang hati saya sakit sangat bila mentua datang ke rumah tapi buat saya macam tak wujud, hanya fokus pada suami.

Menantu kecewa

Jawapan:

Perkahwinan bukan sahaja penyatuan dua jiwa, tetapi melibatkan hubungan dengan keluarga mentua yang kadangkala menjadi ujian dalam keluarga, terutamanya apabila wujud layanan dingin atau pilih kasih dari mereka. Namun, kebahagiaan diri dan rumah tangga tetap perlu diutamakan tanpa perlu membiarkan sikap orang lain mengganggu ketenangan hidup. Berikut tip untuk panduan puan:

Alihkan Sumber Kebahagiaan

Sakit hati biasanya timbul apabila kita meletakkan harapan tinggi untuk dilayan mentua. Oleh itu, kurangkan pengharapan tersebut agar anda tidak mudah rasa kecewa apabila layanan yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

Khidmat Kerana Allah
Layan mentua atas dasar hormat dan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami, bukan kerana ingin mendapat pengiktirafan. Apabila niat kerana Allah, hati akan menjadi lebih tenang dan tidak mudah terluka walaupun tidak dihargai oleh mereka.

Tetapkan Sempadan
Teruskan bersikap baik kepada mentua. Jika mereka hanya fokus pada suami, gunakan masa tersebut untuk melakukan aktiviti lain atau kekal tenang sebagai pemerhati. Elakkan menunjukkan reaksi negatif di hadapan mereka, agar imej dan maruah diri anda terpelihara.

Komunikasi Terbuka dengan Suami
Luahkan perasaan dengan tenang tanpa menyalahkan sesiapa. Suami perlu tahu perasaan anda agar dia dapat membantu mewujudkan suasana yang selesa dan tidak rasa terpinggir bila mertua hadir.

Membina Keyakinan Diri

Jangan biarkan layanan mentua menjejaskan harga diri. Tetaplah menjadi isteri dan ibu yang bernilai. Isi rutin harian dengan aktiviti, hobi atau komuniti yang menghargai kewujudan anda agar emosi lebih stabil dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja.

Doa dan Zikir
Serahkan urusan hati kepada Allah. Berdoalah agar Allah melembutkan hati semua pihak serta memberikan ketenangan dan kekuatan kepada diri anda. Zikir juga membantu menenangkan emosi ketika berdepan situasi yang mencabar.

Kesimpulannya: Kita tidak mampu mengubah orang lain, tetapi kita mampu mengawal diri dan menjaga ketenangan hidup sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN