SIBU: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Datuk Ali Biju membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Ini susulan kenyataannya sebelum ini yang menafikan bahawa beliau akan menyerahkan kerusi itu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun, tindakannya itu bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menbuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berdepan saingan empat penjuru daripada calon GPS, Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan.
Ali adalah penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR.
Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi. – UTUSAN ONLINE