Polis Vietnam rampas produk kopi tiruan guna kacang soya

Polis Vietnam rampas produk kopi tiruan guna kacang soya

KOPI tiruan menggunakan kacang soya dan pewarna berpotensi meningkatkan risiko kanser.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Polis Vietnam memulakan siasatan jenayah terhadap sebuah gudang yang disyaki menghasilkan kopi tiruan daripada kacang soya dalam serbuan awal minggu ini, menurut Kementerian Keselamatan Awam.

Semasa serbuan di wilayah Lam Dong di Dataran Tinggi Tengah, polis merampas 4.1 tan produk kopi tiruan dan tiga tan bahan mentah.

Vietnam merupakan pengeluar kopi Robusta terbesar dunia, yang mempunyai rasa pahit dan biasanya digunakan untuk kopi segera. Dataran Tinggi Tengah adalah kawasan utama penanaman kopi negara itu.

Pemilik gudang, Luong Viet Kiem, mengaku perusahaannya mencampurkan kacang soya dan perisa dengan biji kopi untuk menghasilkan serbuk kopi bagi pasaran tempatan, menurut kenyataan itu.

Serbuan gudang itu dibuat susulan pemeriksaan pada Selasa terhadap sebuah lori yang membawa 1,056 beg serbuk kopi seberat 528 kilogram tanpa dokumen yang sah. Polis berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Polis memberi amaran kopi tiruan tersebut, kebanyakannya diperbuat daripada kacang soya yang dibakar dan dicampur dengan pewarna serta bahan perisa boleh menimbulkan risiko kesihatan serius. 

Pengambilan secara berterusan boleh mengganggu saluran penghadaman, merosakkan hati dan buah pinggang serta meningkatkan risiko kanser.

Petani di Dataran Tinggi Tengah menjual biji kopi sekitar 100,500 dong (RM15.27) setiap kilogram kira-kira tiga kali lebih mahal daripada harga kacang soya.

Pada 2018, polis di kawasan itu menahan lima individu yang disyaki menggunakan bahan kimia bateri untuk mewarnakan biji kopi terbuang dan menjual campuran itu sebagai lada hitam.

Menurut data kastam kerajaan, Vietnam mengeksport 1.6 juta tan kopi bernilai AS$8.9 bilion (RM35.08 bilion) tahun lalu, meningkat 18.3 peratus dari segi jumlah dan 58.8 peratus dari segi nilai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×