PARIS: Walaupun kawasan pemburuan berais semakin menyusut, beruang kutub di kepulauan terpencil Svalbard, menunjukkan keadaan fizikal yang lebih baik dengan bertambah gemuk, menurut satu kajian yang diterbitkan saintis Norway.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports mendapati Laut Barents kehilangan ais laut lebih pantas berbanding kawasan Artik lain, kerana peningkatan suhunya yang lebih tinggi.
Namun, beruang kutub di Svalbard mengalami pertambahan lemak badan berbanding beruang kutub di kawasan Artik lain yang semakin kurus akibat kehilangan ais laut di kawasan pemburuan mereka.
“Peningkatan berat badan beruang dalam tempoh kehilangan ais laut yang ketara adalah fenomena yang mengejutkan,” kata penulis utama kajian dan Saintis Institut Kutub Norway (NPI), Jon Aars.
Kajian itu menyatakan beruang di Svalbard bertambah gemuk dengan memakan mangsa daratan seperti rusa dan anjing laut, spesies yang kini pulih selepas dieksploitasi manusia.
Suhu yang lebih panas juga memudahkan mereka memburu anjing laut yang kini berkumpul di kawasan ais laut yang lebih kecil.
Kajian menekankan kepentingan untuk tidak membuat kesimpulan dari satu kawasan ke kawasan lain, kerana situasi di Svalbard menunjukkan hubungan kompleks antara habitat, struktur ekosistem, pengambilan serta penggunaan tenaga.
Walaupun Aars menyifatkan keadaan fizikal beruang Svalbard sebagai berita baik, kajian itu memberi amaran pemanasan global dan penyusutan ais laut mungkin memberi kesan negatif pada masa depan.
Populasi beruang kutub di Laut Barents dianggarkan antara 1,900 hingga 3,600 pada 2004 dan mula meningkat sejak itu.
Laut Barents mencatat kenaikan suhu sehingga dua darjah Celsius setiap dekad di beberapa kawasan dan kehilangan habitat ais laut empat hari setiap tahun antara 1979 hingga 2014, lebih dua kali ganda daripada kawasan lain yang menempatkan beruang kutub.-AFP










